Apa itu muzik
rock?
oleh
Nas
Ahmad
Rock ialah sejenis muzik yang mendapat sokongan ramai di zaman
yang penuh pancaroba, mula diperdengarkan oleh dua buah kugiran
gergasi pop di dunia iaitu The Beatles dan Rolling
Stones. Muziknya di kala itu adalah umpama lanjutan dari
muzik Rock & Roll yang sering dipersembahkan oleh
Elvis Presley, Sha Na Na, Showaddy Waddy dan
lain-lain, tetapi muzik rock lebih aggresive (keras/bingit)
dari segi dendangannya. Setelah melalui beberapa detik-detik
musim, muzik rock terus berkembang sehinggalah terciptanya irama
heavy metal rock yang mula diperkenalkan oleh Led
Zeppelin.
Apa itu
heavy metal rock? la adalah salah satu dari cabang muzik
rock yang lebih aggressive lagi dari yang sedia ada.
Muziknya bingit, cara nyanyiannya menjerit-jerit dan peratus
besar dari lagu-lagunya rancak 'gila-gila' mengikut istilah
anak-anak muda. Kelihatannya muzik jenis ini menjadi pilihan
anak-anak muda dewasa ini. Nama-nama kugiran seperti Iron
Maiden, Scorpions, Def Leppard, Dio,
Quite Riot dan sebagainya begitu popular kini, lantaran
muzik heavy metal yang mereka bawakan itu disenangi
generasi baru.
Selain dari
heavy metal, terdapat banyak lagi cabang muzik rock seperti
hard rock, slow rock, jazz rock, blues
rock, country rock dan lain-lain sehingga ada pula
istilah 'komersial rock'. Malangnya, di tengah kepopularan muzik
jenis ini, rock sering benar dicaci dan dibantah oleh sebilangan
masyarakat yang lain. Segala macam anggapan buruk, tuhmahan dan
tuduhan dilemparkan ke arahnya. Apa puncanya? Tak lain kerana
situasi muzik ini yang bingit, diiringi dengan gaya persembahan
yang agak liar! Seperkara yang paling 'koman' ialah rock sering
dikaitkan dengan najis dadah.... musuh masyarakat paling durjana!!
Salahnya jatuh kepada para pemuzik rock sendiri. Seantero (seluruh)
dunia telah sedia maklum bahawa pelopor-pelopor muzik rock iaitu
kesemua ahli anggota The Beatles dan Rolling Stones
adalah para penagih najis dadah...!! Mereka inilah yang harus
dipersalahkan kerana telah mengimejkan muzik rock dengan
najis-najis dadah sedangkan muzik rock sendiri tidak memerlukan
tabiat sebegini buruk!
M. Nasir pernah
berkata, "Rock adalah muzik yang disukai oleh masyarakat berjiwa
memberontak, yang mengambil sikap 'peduli apa'. Mereka tidak
suka memikirkan soal-soal yang mengelirukan mereka. Kerana itu
mereka sering disalah anggap sebagai golongan yang menentang
kelaziman hidup bermasyarakat."
Timbul kini
suatu pertanyaan, mengapakah setiap kali bila akan diadakan
sesuatu konsert rock, maka pasti terdapat bantahan dari
segolongan masyarakat; Tak lain kerana muziknya yang bising dan
gelagat anggota pemuziknya yang pasti liar ketika di atas pentas.
Tetapi perlu disedari bahawa inilah apa yang dinamakan 'rock'.
Ramli Sarip
ketika diminta pendapatnya berkata, "Setiap jenis muzik itu ada
gayanya sendiri, seperti dikir barat, boria, pop, dondang sayang,
semua ada gaya persembahannya yang tersendiri, begitulah juga
dengan rock. Kalau orang kata dengar lagu rock mengkhayalkan,
lagu sentimental yang mengisahkan cinta juga ada masanya lebih
khayal sampai boleh hangit nasi di dapur. Cuma rock tu agak
keras sedikit. Bagi saya, seseorang yang gemarkan sebarang muzik
atau apa saja yang dipersembahkan kepada mereka, jika tidak
terlalu memudaratkan, tidak perlu dilarang keras."
Oleh yang
demikian, seandainya ada saranan dari mana-mana pihak untuk
menyekat konsert-konsert rock di sini rasanya adalah suatu
saranan yang berat sebelah. Mereka mendakwa penonton konsert
rock tak sedar diri, menari terkinja-kinja, menjerit jerit,
membuka pakaian dan sebagainya. Bagaimana pula dengan penonton
bola sepak? Mereka juga menjerit-jerit tak sedar diri, membuka
pakaian, malah lebih dahsyat lagi pemah terjadi pergaduhan
hingga roboh stadium dan mengakibatkan kematian! Haruskah
pertandingan bola sepak juga disekat sama seperti konsert rock?
Kini, sedunia
telah menyedari kecelakaan najis dadah. Para pemuzik rock kini
sedang berusaha membersihkan muzik rock dengan hakikat 'rock
tanpa dadah'. Anggota kugiran Van Halen mengepalai
kugiran-kugiran heavy metal yang lain-lainnya dan
memimpin mereka ke jalan ini.... rock tanpa najis dadah! Bagi
para pemuzik rock di dunia sebelah timur, hakikat muzik rock
tanpa najis dadah amat disenangi dan bersesuaian dengan matlamat
hapuskan najis dadah musuh negara!! Sebetulnya muzik rock itu
bersih, sebersih muzik-muzik lain seperti dangdut, ghazal, asli,
boria dan sebagainya. Cuma kelakuan sebilangan pemuzik rock yang
telah mengotorinya dengan najis dadah. Para pemuzik rock kini
bersama berganding bahu berusaha membersihkan nama rock yang
telah lama tercemar itu.
Namun demikian,
muzik rock ini tetap 'keras' macam batu sifatnya. Muziknya yang
bingit, nyanyian yang terjerit-jerit dan gaya persembahan yang
liar (aggressive) tetap menjadi identiti kepunyaan rock,
tambahan para pemuziknya berambut panjang mencecah ke bahu.
Kesemua itu adalah 'seni' bagi muzik rock. Andainya
kekurangannya salah satu dari faktor tersebut, maka akan
sumbanglah 'seni'nya. Hinggakan titisan peluh yang tersembur di
kala para pemuzik rock ini beraksi juga dikira 'seni' rock...
Kemungkinan inilah sebabnya mengapa kugiran rock dengan imej
yang menakutkan tidak sesuai untuk muncul bermain di siaran
hiburan TV Malaysia kerana undang-undang yang memaksa mereka
mengikat rambut dan tak boleh bergaya liar itu kesemuanya
mencacatkan 'seni' mahupun identiti kumpulan muzik ini?
Di manakah
rahsianya yang membuatkan muzik rock begitu popular di kalangan
masyarakat dewasa ini? Dunia kini semakin moden. Penghuninya
sibuk berlumba-lumba meneroka kehidupan baru, mencari kemajuan
dan pembaharuan. Dalam kehidupan yang penuh pergolakan ini
manusia lebih senang dengan ketegasan dan kehangatan yang dapat
menyaingi mereka dalam setiap arus pergolakan. Mereka tidak
punya masa lagi untuk hanyut dengan lagu-lagu sentimental (jiwa-jiwa) yang mengkhayalkan dan membuai perasaan....
© 15 Ogos
1990 URTV |