Album terbaik dari
Hanafie Warren
oleh
Nas Ahmad
Album baru
Hanafie Warren keluaran
Life Records punya keindahan yang tersendiri. 10 buah lagu yang
mengesankan serta susunan muzik yang padat, menjamin peminat
Hanafie Warren dan peminat muzik hard rock pasti akan
berbangga memiliki album ini! Tajuk album ini agak unik, 'Siapa
Aku... Bukan Tak Kenal Diri, Sekadar Belum Pasti' punyai maksud
yang mendalam jika direnungkan. Bagi Hanafie Warren, ianya
menyentuh sedikit perjalanan hidupnya, tapi bagi orang lain pula
mungkin ada tafsiran sendiri yang lebih baik barangkali.
Lirik lagu 'Pencarian' seolahnya
lanjutan dari 'Siapa Aku' tapi dalam nada lain yang lebih
bertenaga. Untuk rangkap permulaan lagu ini teknik suara
speed chorus iaitu alat gejet disambungkan kepada flanger
telah digunakan untuk menghasilkan suara yang kedengaran macam
di awangan. Keyboard jenis Roland D50 juga digunakan
untuk menghasilkan bunyi yang garang - menambahkan semangat pada
lagu ini.
Lazimnya menyanyi mestilah dengan
suara yang bertenaga, tapi adakalanya suara malas pun diperlukan
juga! Seperti dalam lagu 'Menanti Kehadiran'. Melodi lagu ini
memerlukan nada suara tersebut dan Hanafie dapat menyampaikannya
dengan baik.
Nas jadi termenung bila dengar
lirik lagu 'Engkau Dan Aku'. Antara liriknya berbunyi "Semalam
ku lihat, mayat cinta siapa, terbaring di mata, di manakah
engkau". Begitu puitis sekali. Lagu ini ciptaan Awang (Bumiputra
Rockers) dan lirik oleh Bob
(bekas pengurus Wings). Ada harapanlah untuk masuk RTM atau TV3.
Di muka 2 album ini lagu 'Damailah',
punya melodi yang mudah didengar, liriknya juga punyai mesej
baik. Penggunaan alat double pedal pada drum untuk lagu 'Hukum
Rimba' berkesan memberikan debaran untuk lagu ini. Di akhir lagu
diselitkan sound effect bunyi letupan, boom!! (Macam
bunyi perut orang gemuk meletup!).
'Tragedi Di Rusila' sebuah lagu
tanpa drum, hanya menggunakan gitar akaustik dan keyboard.
Kekuatan lagu ini adalah pada liriknya. Hasilnya menarik. Album
ini terbitan Hanafie Warren dan Moliano (Lovehunters).
Hanafie Warren kini menyanyi di Kelab Woodstock di Far East
Plaza, Singapura. Dia baru saja balik dari Taiwan, menyanyi di
sana selama 3 bulan di Kelab Monticarlo di daerah Tahichung.
© 15 Oktober
1989 URTV |