
25 Disember 2007
Setelah muncul dengan album Teori Domino Revisited,
kumpulan Wings merancang
untuk mengeluarkan sebuah lagi album dengan konsep yang
sama, tetapi kali ini dengan merakamkan semula lagu-lagu
daripada album
Jerangkung Dalam Almari pula. Kemungkinan besar
album tersebut akan dipasarkan dalam tahun depan. Selain
itu, persembahan Wings di Planet Hollywood KL baru-baru
ini juga turut dirakamkan untuk dikeluarkan dalam vcd,
juga akan dipasarkan dalam tahun depan. Pilihan
lagu-lagu dalam persembahan tersebut kebanyakannya
daripada album Jerangkung Dalam Almari.
Kumpulan XPDC akan
mengeluarkan album terbaru mereka tidak lama lagi,
gabungan Mael, Izo, Zua
dan Amy. Setakat ini khabarnya promosi lagu single
pertama telah pun bermula di stesen-stesen radio. Satu
lagi kumpulan yang bertungkus lumus dalam studio
sekarang ialah
Bumiputra Rockers, harapnya sebuah album akan keluar
dalam 2008 nanti. Selain album, terdapat juga lagu-lagu
kolaborasi dan juga single yang bakal terbit. Antaranya
ialah single duet Amy Search
bersama kumpulan nasyid Rabbani untuk lagu Mentari Merah
Di Ufuk Timur. Dan juga single duet
Ella bersama Ruth Sahanaya
diiringi oleh Man Keedal.
Selain itu Ella turut merakamkan satu lagu baru yang
akan turut dimuatkan dalam album kolaborasi berjudul
Putih tersebut. Manakala album artis-artis baru yang aku
nantikan ialah seperti album kumpulan
Nrocinu (pemenang Rock
Unite), album kumpulan
Fenomena (pemenang Rentak Juara), dan juga khabarnya
bakal hadir seorang penyanyi wanita yang dikatakan
membawa muzik rock iaitu Maryanna yang juga akan
mengeluarkan sebuah album. Sementara itu akhbar Harian
Metro pada 13 Disember 2007 lalu membawakan tajuk berita
'Erra mahu sentuhan rock' di mana penyanyi pop Erra
Fazira yang akan merakamkan album terbaru bersama
syarikat Suria Records dilaporkan berkata "Kalau boleh
saya sendiri mahu ada sentuhan rock dalam album terbaru
itu nanti"
Dalam perkembangan lain, rancangan pertandingan band
Rentak Juara musim baru tahun 2008 anjuran RTM akan
bermula tidak lama lagi. Sekarang sedang berlangsung
sesi ujibakat di seluruh negara. Adakah genre rock akan
menguasai lagi? Jadual dan maklumat lanjut di
www.rentakjuara.com. Selain itu musim terbaru rancangan
muzik santai Fenomena Akustika terbitan RTM1 juga sudah
bermula. Antara persembahan istimewa 'tanpa elektrik'
yang akan dipaparkan ialah daripada
OAG,
MAY,
Maman,
Bumiputra Rockers,
Pretty Ugly dan
lain-lain. Rancangan tersebut biasanya disiarkan setiap
Isnin bermula 8.45 malam (8.30 malam mulai 2008) di
saluran RTM1 sekiranya tiada sebarang perubahan di saat
akhir. Akhir sekali, akan muncul tidak lama lagi
pertandingan Juara Lagu ke-22, 2007. Tarikhnya belum
diketahui, tapi berkemungkinan pada awal tahun depan.
Nantikan Jinbara yang
bakal mempertandingkan lagu Farhana (Puteri Bumi
Kenyalang) dalam kategori Pop/Rock.
-
22 Disember 2007
Kumpulan yang pernah dihidupkan beberapa kali sejak
1980-an dan pernah muncul memperjuangkan muzik rock
dengan berbagai anggota kumpulan yang silih berganti,
kumpulan itu dikenali sebagai SYJ. Kumpulan SYJ
dihidupkan kembali pada 2007 oleh pengasasnya Syed Yusuf
Jamalulail. Khabar yang mengatakan line-up asal SYJ
(1986) akan bergabung semula akhirnya padam setelah
kehilangan pemain dram Syed Eduat yang telah meninggal
dunia. Susulan paparan Terjah oleh Melodi (TV3) pada
awal tahun ini berjaya menjejak Alang (SYJ
'90) yang akhirnya bergiat aktif semula untuk terus
memperjuangkan nama SYJ. Untuk mengelakkan kekeliruan,
mereka berkemungkinan tampil dengan nama SYJ 08. Video
rakaman terbaru ada di www.youtube.com/SYJ08
Bagus juga dapat melihat beberapa band rock lama kembali
menjadi penghias muka depan majalah seperti kumpulan
Desire (majalah Konsert)
dan Rusty Blade
(majalah ROTTW). Ironiknya, seingat aku mereka (mungkin)
tidak pernah muncul sebagai 'cover story'
majalah-majalah hiburan ketika zaman kegemilangan mereka
dahulu, maklumlah mungkin tidak begitu 'laku'
wajah-wajah pejuang heavy rock seperti mereka. Desire
secara senyap telah pun muncul dengan album terbaru yang
sangat terhad pengedarannya, manakala Rusty Blade baru
saja muncul gagah di pentas konsert Kuala Lumpur
beberapa bulan lalu dan turut berjanji untuk merakamkan
album terbaru.
-
19 Disember 2007
Tahun baru 2008 akan menjelang. Persembahan hiburan
sering menjadi sajian untuk meraikannya. Antaranya ialah
Konsert Gegar di Putrajaya pada 31 Disember 2007 anjuran
RTM bermula pada sebelah malam membawa ke detik 12 malam,
yang akan menampilkan persembahan kumpulan Khalifah,
Mpire, Shamrin
Fotograf, dan
lain-lain. Sementara itu pada hari dan waktu yang sama
di Ipoh, Perak akan menyaksikan sambutan tahun baru di
Dataran Ipoh yang akan turut menampilkan persembahan
SYJ 08! Manakala di Tapak
Pesta Pulau Pinang juga turut akan berlangsung serentak
persembahan XPDC yang akan
disokong kumpulan rock anak muda
Revenge bagi menyambut
detik baru 2008. Perjuangan rock berterusan.
Pesta Pulau Pinang, sebuah acara tahunan yang pernah
heboh dengan konsert-konsert rock sepanjang sebulan ia
berlangsung sejak tahun 80-an lagi. Itu dulu, tahun ini
turut menyaksikan banyak kumpulan rock dijemput untuk
beraksi, namun ia tidak lagi bertaraf konsert seperti
zaman kegemilangan dahulu. Apa yang pasti ngauman dan
laungan rock terus bergema, lebih-lebih lagi ketika di
penghujung acara di mana kumpulan-kumpulan terkenal
bakal beraksi. Sejak bermula 29 November lalu, antara
kumpulan yang telah beraksi ialah
Def-Gab-C dan
Kristal. Akan datang,
saksikan berturut-turut
Jinbara (20 & 21 Dis),
Wings (22 & 23 Dis), MAY
bersama O2 (24 & 25 Dis),
Gabungan Tribute to JS Kevin - Joey
BPR, Shamrin
Fotograf,
Mus MAY, Ali
Mpire, Faizull (29 Dis),
dan diakhiri oleh XPDC
bersama Revenge (30 &
31 Dis). Semua persembahan secara percuma di Dewan Utama
mulai 8.00 hingga 11.00 malam. Bayaran masuk ke tapak
pesta akan dikenakan.
Mengimbas kembali acara pentas 2007 yang telah sempat
ditinjau, nyata muzik rock masih gagah berdiri serta
diberi kepercayaan walaupun dengan beberapa kelemahan
penganjuran yang sepatutnya dapat dielakkan. Bermula
Februari dengan showcase Ella
di Planet Hollywood KL yang penuh sesak dengan para
peminat, tambahan pula dengan penampilan istimewa
Joe Wings di posisi
gitar utama bergandingan dengan
Edrie Hashim.
Kehadiran Mac menyaksikan Konsert Rocks U di Stadium
Batu Kawan Pulau Pinang, sebuah konsert yang menampilkan
sistem bunyi dan lampu yang berkualiti, menghidangkan
nama-nama besar
Lefthanded, Wings,
XPDC dan
Amuk, namun publisiti yang
lemah mengakibatkannya kurang sambutan. Bulan Mei
menyaksikan persembahan yang boleh tahan bagusnya di
Central Market KL, bertemakan 80's The Never Ending Rock
Story, menampilkan beberapa band keluaran 'bawah tanah'
antaranya Revenge yang
begitu bersemangat mempersembahkan lagu-lagu lagenda
rock 80-an, malah penghargaan turut diberikan kepada
para otai rock lagenda yang telah diraikan bersama di
atas pentas, sesuatu yang agak bermakna walaupun tidak
terlalu meriah. September pula menyaksikan
Rusty Blade kembali
menggegar Stadium di Bukit Jalil dalam
Konsert
Gemilang Merdeka yang turut disertai oleh
Lefthanded dan
lain-lain artis rock. Walaupun tidak banyak persembahan
yang berjaya disaksikan, terutama sekali Konsert 25
Tahun Search yang 'dibatalkan' pada Januari, namun 2007
membuktikan rock terus rock!
Search akhirnya berjaya muncul dalam Konsert Selepas
Banjir di Johor pada Mac, sesuatu yang tidak dijangka
lebih awal. Lebih menarik apabila Search turut muncul di
Planet Hollywood KL pada September lalu, satu
penghormatan untuk para peminat yang hampir kecewa.
Selain itu Wings juga
dijemput bermain di tempat yang sama baru-baru ini
dengan persembahan yang memuaskan, begitu juga
XPDC yang berpeluang
bermain di Dewan Jubli Intan, Johor baru-baru ini.
Selain itu terdapat juga lain-lain persembahan rock yang
berjaya diadakan di tempat-tempat kecil. Menghampiri
akhir tahun, tiada apa yang kelihatan begitu memberi
impak yang besar kepada arena rock tempatan, tapi secara
keseluruhannya ini adalah satu tahun yang cukup bagus,
mengambil kira penghasilan album/vcd, promosi dan
persembahan pentas/TV.
-
18 Disember 2007
Terdapat
beberapa keluaran terbaru di pasaran. Mula-mula daripada
kumpulan Search yang
hadir dengan album terbaru berjudul
Live At Planet Hollywood. Album ini baru beberapa
hari dipasarkan. Terdapat dalam format audio dan juga
video (vcd) menampilkan 17 buah lagu. Ini adalah rakaman
live pertama gitaris
Hillary bersama Search, kebanyakan lagu-lagu juga
adalah daripada album-album awal Search. Edaran
Sony-BMG.
Yang kedua
ialah vcd pertandingan akhir Ikon Malaysia yang juga
baru dipasarkan. Walaupun beberapa band yang turut serta
bertanding tidak dimasukkan dalam vcd ini seperti
MAY &
Jinbara, tetapi
kemunculan Def-Gab-C
sebagai wakil muzik rock membawakan 4 lagu tidak
menghampakan. Selain itu terdapat juga band seperti
Flop Poppy (4 lagu),
OAG (5 lagu) dan Alleycats
(2 lagu)! Turut dipaparkan ialah persembahan artis-artis
pop masa kini. Edaran Life Records.
Album
cover version terus-terusan dikeluarkan. Yang terbaru
ialah Rock Dangdut yang menampilkan nyanyian terbaru Ary
Fahrenheit, Yabang,
Faizull (Malaysian Idol) dan
Abot, manakala muziknya yang berperisa gelek
berdistorsi berat dimainkan oleh
XPDC (Izo & Amy).
Seterusnya ialah album Classic Rock 2 yang menampilkan
lagu-lagu oleh Dio, Deep Purple, Scorpions, Black
Sabbath, Bon Jovi dan sebagainya yang dinyanyikan semula
oleh Jatt, Yabang, Joey
BPR, Shamrin
Fotograf, Tajol
FTG dan Asheed
Def-Gab-C. Edaran
Life Records.
Kumpulan Wings baru saja
mengeluarkan album Teori Domino Revisited Jamming
Session 07.1 yang menampilkan rakaman live studio
terbaru semua lagu-lagu daripada album
Teori Domino
(1990) yang kini telah dibuat susunan muzik terbaru, dan
dipersembahkan secara 'bebas', maksudnya tidak terlalu
terkawal dan sempurna seperti rakaman studio yang biasa.
Konsep sebegini boleh dianggap baru di Malaysia dan
hanya artis yang berpengalaman luas seperti Wings berani
menghasilkan album sebegini. Album Teori Domino yang
asal juga turut disertakan sebagai bonus. Edaran EMI.
Veteran
death metal
Suffercation telah kembali ke akar mereka dengan
kemunculan album terbaru As We Breathe edaran
Interglobal Music tanpa sebarang publisiti. Sementara
itu kumpulan lagenda metal 80-an
Blackfire juga turut
mengeluarkan album rakaman live lama mereka The
Hereafter Live 1988, namun ianya hanya dipasarkan secara
kecil-kecilan (www.myspace.com/blackfireofficial). Satu
lagi keluaran album baru yang tidak kurang pentingnya
ialah Salutant To King "Penghargaan Buat Sil Khannaz",
juga dipasarkan dalam skala kecil oleh North Poem
Records (NPR - www.myspace.com/nprmalaysia)
-
2 Disember 2007
Kumpulan
Wings mengadakan
persembahan di Planet Hollywood KL pada jam 10.30 malam.
-
21
November 2007
Saksikan
persembahan kumpulan rock di Pesta Pulau Pinang 2007:
Def-Gab-C (8 & 9 Dis),
Kristal (15 & 16 Dis),
Jinbara (20 & 21 Dis),
Wings (22 & 23 Dis), MAY
(24 & 25 Dis),
XPDC bersama Revenge
(30 & 31 Dis)
-
9
Oktober 2007
Saksikan
rancangan TV sempena Hari Raya: Konsert Hayati (15 Okt,
8.30 mlm, TV9 - menampilkan
Man Keedal,
Ella,
Hattan,
Mus, Faizal Tahir) & Rock
Kapak Raya Bersama
XPDC (17 Okt, 9.00 mlm,
TV9)
-
9
September 2007
Kumpulan Search mengadakan
persembahan 'Malam Edan' di Planet Hollywood KL dengan
penampilan istimewa Joe
Wings.
-
17
Ogos 2007
Kumpulan
Jinbara mengadakan
persembahan dalam Patah Pusing Mini Showcase yang
diadakan di Ruums Bar and Club, Life Centre, KL pada jam
8.00 malam.
-
16
Ogos 2007
Setelah
mendapat pendedahan Melodi pertengahan tahun ini, Alang
SYJ kembali menaikkan nama SYJ
apabila menerima undangan mengadakan persembahan
istimewa dalam gig kumpulan Revenge
pada 5 Ogos lalu. Beliau membawakan lagu Hati Syaitan,
lengkap dgn kostum yg erm.. pelik? Itulah SYJ. Seperti
dijangka, gig tersebut tidak mendapat perhatian Melodi,
tidak sensasi sepertimana kerja buruh di tengah panas.
Terbaru di
pasaran ialah vcd/dvd Konsert
Wings at Orange Club dan
juga sebuah kompilasi Wings Dua Dekad edaran Sony-BMG.
-
9
Ogos 2007
Kumpulan Rusty Blade &
Lefthanded mengadakan sidang akhbar
pengumuman konsert mereka yang akan diadakan pada 1 September
2007 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Konsert
tersebut juga turut mengundang kumpulan
Candy,
Aku,
Handy Black dan
Royce bagi memeriahkan sambutan hari kebangsaan Malaysia
yang ke-50 tahun.
-
3 Ogos 2007
Kumpulan
Amuk baru saja
mengeluarkan vcd yang berjudul Semakin Buas (Live At
Planet Hollywood). Setelah keluar dengan versi audio,
kini rakaman 'konsert' Amuk akhirnya dikeluarkan dalam
format vcd. Ini bukanlah vcd mtv karaoke seperti yang
disangkakan, ia sememangnya sebuah rakaman persembahan
live. Cuma yang agak 'meruntun perasaan' apabila melihat
hanya lima orang brader (mat rok) 'berpusu-pusu
memenuhkan' depan pentas. Suasana yang agak sadis dan
mengharukan dalam mana-mana 'konsert' rock. Walau
bagaimanapun, Amuk/Bandi tetap berusaha memberikan
persembahan terbaik mereka untuk tatapan ribuan penonton
di rumah (atau di mana saja anda menontonnya). Begitu
juga lima orang di depan pentas itu yang turut sama 'beraksi'
head banging tanpa rasa janggal, terima kasih.
Sebenarnya bukan 'konsert' ini tiada penonton, cuma
tidak ramai yang menghampiri depan pentas, mungkin tidak
mahu wajah mereka dirakamkan dalam vcd ini, mungkin juga
mereka mahu menonton wayang tapi tiket habis maka
terkandas di Planet Hollywood, haha. Walau bagaimanapun,
vcd ini yang mempunyai 2 disc amat berbaloi untuk dibeli,
rakaman bunyi dan muzik memang sedap hinggakan tak
terasa seperti live sound. Pilihan lagu-lagu juga sama
rata, terdapat sekurang-kurangnya satu lagu daripada
setiap album Amuk, dari tertubuhnya Amuk pada 1998
hinggalah lagu-lagu terbaru daripada album
2 Juta. Artis
undangan mereka ialah
Aru ROB dan Mus MAY,
memang otai geng-geng 80-an semuanya termasuklah Bandi.
Mungkin ketika Febians
dan MAY digabungkan dalam
album Juara-Juara Rock '87 tidak pernah terjangka yang
Mus dan Bandi akan akhirnya berduet dalam satu lagu 20
tahun kemudian. Dan kepada mereka yang tidak pernah
melihat Febians beraksi, mungkin persembahan Bandi dalam
lagu Untukmu Sayang adalah yang paling hampir akan anda
saksikan. Walau apapun, kisah silam telah berlalu, kini
Bandi terus memperjuangkan Amuk, di mana kali ini posisi
pemain gitar menampilkan Ritz (Metalasia)
dibantu oleh pemain bass Eddie (DGC).
Pemain dram tidak dapat dipastikan, harap maaf, aku
belum habis menonton vcd ini. Ni nak sambung tengok la
ni...
Sebelum
itu aku sempat juga layan vcd terbaru Rock Unite - Live
In Concert (Vol. II). Cover hadapan vcd bahagian ke-2
ini menyerupai vcd sebelum ini, cuma sebelum ini dicetak
Vol. I dan kali ini bezanya Vol. II. Perhatikan
betul-betul cover vcd sebelum mendapatkannya. Dari segi
produksi, vcd ini tidaklah sebagus mana, tapi bagus
untuk dijadikan koleksi kerana produk sebegini tidak
selalu dikeluarkan dan mungkin tidak akan dikeluarkan
lagi selepas ini. Seperti sebelum ini tumpuan kita
adalah terhadap juaranya iaitu kumpulan
Nrocinu. Namun begitu,
band lain juga membuat persembahan sehabis baik mereka,
maklumlah, pertandingan. Tidak mahu ulas panjang, tiga
perkataan saja: mereka semua rock!!
-
2
Ogos 2007
Banyak
album-album baru yang telah aku layan, namun tak semua
memuaskan hati. Ada juga yang menyakitkan hati & telinga.
Salah satunya ialah album sulung kumpulan Akai-E-Bara
berjudul Jelas Terbukti. Satu perkataan mampu aku bagi:
bosan!! Album ini diterbitkan oleh Saari Amri, hampir
semua lagu dicipta olehnya (dia guna nama-nama lain -
Iraas Marliany, Fitri Amri, Iraas Irma. Amri Farizuan
pun mungkin dia juga, jadi semuanya 9 lagu ciptaan
nama-nama tersebut. Sebuah lagi lagu adalah ciptaan
Sham). Vokal kumpulan ini bernama Shamir (bukan Yabang
seperti yang dikhabarkan). Kumpulan Akai-E-Bara ini 'mungkin'
kumpulan rock. Aku kata 'mungkin' sebab aku tak pernah
tengok persembahan live mereka. Tapi, album Jelas
Terbukti ini memang susah untuk dikatakan sebagai sebuah
album rock. Letih sungguh untuk mendengar album ini
sehingga habis. Betul seperti mana kata-kata seorang
member, kalau anda kaki layan UK's, inilah album yang
patut anda cari. Atau anda layan semua album Zamani/Slam
ke bolehlah membeli album ini. Walau bagaimanapun,
terdapat 3 buah lagu yang agak rock sikit, itu pun
muziknya kedengaran stereotaip (susunan muzik oleh Idzar
Azwa). Selebihnya ada 6 buah lagu slow leleh, dan sebuah
lagu rancak 'poprock'. Penulisan lirik memang
menyedihkan (lihat contoh di bawah). Aku terpaksa kesian
pada Akai-E-Bara, itu pun kalau mereka sememangnya mahu
bermain muzik rock, sebab mereka sebenarnya sudah
di'tangkap' oleh Saari Amri, jadi sendiri mau ingat la.
Aku akhiri ulasan bosan ini dengan serangkap lirik Saari
Amri, daripada lagu Aku Jambatan Buatmu, perhatikan
betapa lelehnya... aku nak taip pun rasa bosan semacam:
"ku lihat kau dari jauh, bersama seorang kekasih, sejoli
dan satu arah; aku di sini jadi pemerhati, tanpa ku
sedar air mata ini, membasahi pipi oh...". Lelehhhh...
hinggakan di dalam kulit album ini diletakkan gambar
sekuntum bunga mawar.
Seterusnya
album kumpulan Aku, sebuah
lagi kumpulan baru. Judul album juga
Aku. Cubalah anda
dengarkan. Aku suka band AKU ini (nama band itu AKU,
bukan aku punya band ok), dan album ini pun boleh tahan
menarik. Masalahnya band AKU ini ialah mereka tiada
pemain dram tetap. Untuk rakaman album ini kurang pasti
sama ada mereka menggunakan sessionist atau drum
machine. Dari segi kulit albumnya, pada pandangan aku
memang menarik, luar dan dalam. Album AKU dikeluarkan
oleh Apex Entertainment Network (sama seperti album
Royce), dan konsep
AKU menjurus kepada rock n roll, namun cara penyampaian
vokalnya boleh dikatakan ke arah penyanyi-penyanyi
modern rock, tidak agresif tapi menampilkan suara yang 'matang'.
Perlu dinyatakan bahawa penyanyinya juga adalah pemain
gitar kedua (sama seperti band
Spider). Pemain gitar
utamanya pula diketahui lahir daripada pengaruh GNR,
Aerosmith, Wings, Padi
dan lain-lain. Sepuluh buah lagu dalam album ini
semuanya dicipta oleh Yuzz (penyanyi/gitar kedua), dan
semua lirik juga ditulis oleh Yuzz kecuali dua lagu
ditulis oleh karyawan lain. Malah penerbit album dan
susunan muzik juga dilakukan oleh band AKU sendiri. Dan
khabarnya AKU sudah pun membuat dua buah muzik video
untuk lagu Aku dan Pernah. Mereka memang bersemangat
tinggi, harap mereka akan berjaya.
Album
seterusnya, daripada kumpulan
Amuk, berjudul
Bertemu Ruas.
Ini adalah album 2
Juta yang dikeluarkan semula dalam pakej baru,
berserta beberapa lagu baru. Kalau anda belum mempunyai
album 2 Juta, lebih baiklah mendapatkan album Bertemu
Ruas ini. Lagu baru Bertemu Ruas memang sedap didengar,
ia diterbitkan oleh Yasin. Bagi aku Yasin berjaya
menerbitkan sebuah lagu rock yang menarik dengan
beberapa kelainan yang berjaya dimasukkan ke dalam muzik
Amuk. Lagu yang dicipta sepenuhnya oleh Yasin itu
mengandungi banyak bunyian keyboard, dan juga memasukkan
sedikit efek pada vokal Bandi. Selain itu, sebuah lagi
lagu baru ialah Kepang yang mendapat sentuhan pemuzik 'etnik'
Mohar, sebuah lagi penggabungan pengaruh dalam muzik
Amuk. Rakaman baru yang terakhir ialah lagu Aku Mahu
Pulang, lagu lama daripada album
Dikir Timur
(2001) yang mempunyai mesej 'anti dadah', kali ini
muziknya disusun semula setelah terpilih sebagai lagu
tema Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK). Versi terbaru
lagu itu boleh dikatakan semakin perlahan dan 'mesra
pendengar' (tidak rock?) kerana ia akan digunakan secara
meluas dalam kempen AADK di seluruh negara.
Album
D' Cromok -
VII Years VII Days Collection (Remastered) adalah
sebuah album kompilasi keluaran semula yang bagus!
Nampaknya EMI berjaya membeli kesemua album D' Cromok
daripada InterGlobal (PonyCanyon - yang sebelum itu
membeli daripada VSP). Jadi, sekarang ini semua jenama 'Cromok'
menjadi khazanah EMI. Album ini telah menjalani proses
digital mastering, menjadikan lagu-lagu lama D' Cromok
kedengaran lebih bertenaga, soundnya lebih mantap dan
jelas. Kalau sebelum ini kita cuma mendengar kedua-dua
album D' Cromok melalui kaset, ataupun cakera padat
edisi pertama secara berasingan, kini kesemuanya berada
dalam satu album. Kompilasi ini adalah koleksi lengkap
kedua-dua buah album D' Cromok (album pertama 7 lagu.
album kedua 8 lagu. jumlah 15 buah lagu dalam satu
album). Walau bagaimanapun, susunan trek lagu telah
bercampur-campur tanpa mengikut susunan asal. Kulit
album terbaru ini juga menarik pada pandangan aku, dan
ia turut mengandungi kesemua lirik lagu. Malangnya
gambar teraju utama Din
tidak dimasukkan sekali. Sebelum ini, VSP ada juga
mengeluarkan kompilasi D' Cromok dengan tajuk yang sama,
tapi ia cuma mengandungi 14 buah lagu saja (tanpa lagu
Adamaina). Jadi, kehadiran kompilasi ini memang
ditunggu-tunggu. Dengarkan lagu wajib: Metallurgical II
& Metallurgical III (Suite)
Album
Ella -
Rama-Rama II Edisi
Emas adalah sebuah album keluaran semula tanpa
lagu-lagu baru! Walaupun album Rama-Rama baru beberapa
bulan berada di pasaran, tetapi kini EMI menyusun pula
strategi baru dengan menggunakan 'taktik' Edisi Emas
walaupun ia cumalah satu helah sahaja sekiranya tidak
diperhatikan dengan teliti oleh para pembeli. Walau
bagaimanapun, album ini akan tetap dijadikan koleksi
oleh para peminat setia Ella (yang telah membeli album
Rama-Rama), dan sememangnya amat sesuai untuk para
peminat yang belum mendapatkan album Rama-Rama, kerana
dengan harga yang sama, pembeli awal Rama-Rama akan
mendapat 1 disc sahaja, tetapi Edisi Emas ini
mengandungi 2 disc iaitu Disc 1: album Rama-Rama (10
lagu) dan Disc 2: lagu-lagu yang jarang ada dalam
kompilasi sebelum ini, seperti lagu-lagu versi live (daripada
album Demi),
lagu-lagu instrumental (daripada album petikan gitar,
Mentera Metal),
serta satu lagu daripada album
Diva Metal (Nuri),
jadi keseluruhannya ada 10 lagu dalam Disc 2. Tidak
mengapa sekiranya anda tidak mahu mendapatkan album ini,
mungkin beberapa bulan lagi akan muncul pula Rama-Rama
versi VCD Karaoke? Lebih banyak pilihan lebih bagus?
Atau lebih hebat lagi sekiranya (masukkan doa di sini)
vcd versi live Ella di Planet Hollywood boleh diedarkan,
hah itu baru betul-betul Edisi Emas Tulen!
Kumpulan Kristal
kembali dengan album Rockafella. Cover album yang cantik
lagi menarik, termasuklah gambar-gambar di dalam, sound
pun sedap.. tapi sayang, semuanya lagu-lagu cover!!
Lihat senarai lagu: SMS (asalnya lagu dangdut nyanyian
Ria Amelia, penyanyi Indonesia. perkataan Bang telah
ditukarkan kepada Dik); Memburu Impian (lagu nyanyian
Kazar daripada filem Gila-Gila Remaja); Kasihku (kedengaran
seperti lagu cover daripada Thailand saja, liriknya
telah ditukar.. judul lagu asal tak dapat dipastikan);
Zakiah (pernah juga di-cover oleh
Sweet Charity.
kalau tak salah penyanyi asalnya Achmad Albar.. kurang
pasti); Memikat Hati (kalau tak salah nyanyian asal R.
Azmi dalam tahun 50-an); Janji (nyanyian asal penyanyi
veteran S. Roha); Madu Dan Racun (lagu pop Indonesia
80-an, penyanyi asal kurang pasti); Pujaan Hati (tak
dapat pastikan penyanyi asalnya); Aku Semut Merah (pernah
dengar lagu asal, kurang pasti, mungkin dari Indonesia
juga); Basikal Tua (lagu nyanyian Sudirman). Itulah 10
lagu nyanyian semula dalam album ini. Kalau sesekali
keluar album sebegini, mungkin tidak mengapa. Tapi,
Kristal sebelum ini baru sahaja mengeluarkan album Rock
Yeh Yeh (rakaman semula lagu-lagu Pop Yeh Yeh 1960-an),
jadi kehadiran album cover penuh Rockafella ini telah
memberi sedikit tanggapan yang kurang sedap didengar
kerana mereka juga dikatakan sebagai pelapis band rock
tempatan yang sedang meningkat naik (mungkin mereka
terpengaruh dengan tindakan XPDC tidak lama dulu?).
Perlu diingat, sekiranya sesebuah band itu meningkat
popular hanya dengan lagu-lagu cover/saduran sahaja, ia
mungkin akan menjejaskan nama band itu untuk jangka masa
panjang. Berita terbaru pula, Rockafella MTV Karaoke
juga telah diedarkan, dan agak menarik juga apabila
pembeli awal vcd ini turut diberikan secara percuma vcd
filem Gila-Gila Remaja yang popular pada tahun 80-an.
Album
kompilasi pelbagai artis berjudul Tangisan Di Gelanggang
Fana (A Tribute To JS Kevin) ini bukan setakat
menampilkan para penyanyi terkenal saja yang memberi
penghargaan (tribute) kepada
JS Kevin seperti mana
terteranya wajah-wajah mereka pada kulit album, malah
terdapat ramai pemuzik rock terkenal yang terlibat
membuat susunan muzik dalam album ini. Antaranya ialah
Opie Bloodshed yang
bermain gitar dalam dua buah lagu. Selain itu, pemain
gitar dan pemuzik lain yang terlibat ialah seperti Izo
XPDC,
Samad, Stone
Barongan, Joe (tidak
dapat dipastikan Joe mana, sekadar ditulis Joe saja
dalam kulit album), Alfa, Ujang (dram),
Yan (bass) dan ramai lagi.
Itulah sebenarnya keistimewaan album ini yang tidak
hanya bersandarkan kepada penyanyi popular sahaja.
Setelah mendengar album ini yang memuatkan
keseluruhannya lagu-lagu 'baru' (sudah lama dicipta,
tapi tidak pernah dirakamkan) ciptaan JS Kevin, kita
boleh merasakan semangat rock era 90-an meresapi hampir
dalam setiap lagu-lagu tersebut. Sudah tentunya pengaruh
JS Kevin yang paling terasa sekali dalam setiap
persembahan lagu dalam album ini, ditambah pula dengan
nyanyian bertenaga para penyanyi lama mahupun baru (antara
persembahan yang menarik perhatian aku ialah Joey
BPR, Ali
Mpire, Faizull Rock Orang
Kampung dan beberapa lagi), dan pastinya susunan serta
permainan muzik para pemuzik handalan yang semuanya
berpengalaman luas dalam arena rock 80/90-an telah
berjaya menambah 'perisa rock' dalam setiap lagu yang
dimainkan. Maka, gabungan semua karyawan tersebutlah
yang telah menjadikan album ini suatu hasil yang
memuaskan. Dan sudah tentulah usaha Harun
BPR sebagai
penerbit yang menerajui rakaman album ini amat wajar
dihargai. Bagi para pendengar baru yang kurang serasi
dengan karya JS Kevin, mungkin album ini kedengaran agak
'lama' seperti hasil rock dulu-dulu, tapi itulah yang
mereka dan kita mahukan sebagai menghargai karya JS
Kevin. Dalam kulit album ini juga terdapat sedikit
sejarah JS Kevin (biografi ringkas), berserta dua gambar
beliau yang pada pandangan aku pihak penerbit patut
mendapatkan gambar yang lebih lebih menarik, misalnya
gambar-gambar zaman awal JS Kevin (zaman rock beliau)
yang sungguh jarang dapat disaksikan.
Setelah
mendengar album terbaru
Spider - Bintang 12 ini, apa yang dapat diperkatakan
ialah album ini sekadar biasa-biasa saja. Tiada yang
terlalu istimewa, walaupun lagu-lagunya tetap sedap
didengar dan boleh layan punya (terutama time nak tidor,
haha). Seperti mana album-album yang lepas, Spider
diketahui tidak memainkan muzik yang terlalu berat (lebih
kepada muzik-muzik rancak - kugiran?), manakala untuk
album terbaru ini pula susunan dan permainan muzik
mereka telah sengaja dibuat menjadi lebih ringkas,
alasannya kerana mereka mahukan lagu-lagu terbaru ini
semuanya bersesuaian untuk dipersembahkan secara live
tanpa perlu menggunakan pemuzik undangan seperti
album-album sebelum ini yang disulami bunyian keyboard,
saksofon dan sebagainya. Kali ini muzik mereka
sememangnya ringkas, tapi tetap bermutu. Album ini 'ok'
(bagus), ia cuma tiada pembaharuan sahaja, dan pada
sesetengah pendengar mungkin agak membosankan untuk
mendengar album ini dari mula hingga tamat (terutama
sekali kepada kaki rock-keras. album ini bukan untuk
anda). Dari segi lagu-lagu slow/ballad, hasil terbaru
kali ini seharusnya mampu menandingi lagu-lagu popular
mereka sebelum ini (ya, ia memang sedap). Walau
bagaimanapun, jangan berharap lagi untuk dapat melihat
para penonton melompat-lompat riang pada kemuncak lagu
Aladin seperti dulu, lagu-lagu kali ini mungkin sekadar
mengundang anggukkan kepala secara santai sahaja :)
Kumpulan Mpire akhirnya
mengeluarkan album sulung mereka yang juga berjudul
Mpire. Setelah terperam beberapa lama, khabarnya sejak
hujung tahun lepas, album yang diterajui oleh Ali (XPDC/Terra
Rossa) ini mula diedarkan baru-baru ini. Aku belum
mendapatkan album ini, tetapi sedutan setiap lagunya di
laman web Life Records kedengaran menarik. Seperti biasa
terdapat lagu cover, seolah-olah satu lagu penyelamat
sekiranya lagu-lagu ciptaan terbaru tidak mampu menarik
minat pembeli, macam plan B pula, kena ada juga dalam
mana-mana projek atau rancangan besar? Tapi, tidak
mengapa, Ali kan sudah biasa dengan lagu-lagu cover,
terima kasih kepada siri-siri konsert XPDC dan metal
60-an. Walau bagaimanapun, ini tetap album yang aku
nantikan untuk mendengar sepenuhnya tidak lama lagi.
Akhir
sekali aku ingin menyebarkan cerita tentang album
terbaru Modar berjudul In
My Meditation Time. Mereka adalah sebuah kumpulan doom
metal lagenda dari Terengganu. Otai!! Ini adalah album
kedua mereka setelah album Inferior Symphony pada 1992!
Walau bagaimanapun, album ini tidak dipasarkan secara
meluas, maklumat lanjut terdapat di
Ricecooker Zine.
-
28
Julai 2007
Kumpulan
Junction mengadakan
persembahan reunion mereka di Karnival Setapak Jaya, KL.
Mereka masih mengekalkan penyanyi
Hatta dan dua anggota
asal, manakala dua lagi anggota baru terpaksa diambil
bagi membantu projek khas tersebut.
-
10
April 2007
Anugerah
Industri Muzik Ke-14, 2007 akan berlangsung pada 28
April jam 8.30 malam di PWTC, KL & saluran ntv7. Senarai
penuh pencalonan AIM14 baru saja diumumkan. Ada beberapa
kategori yang mungkin menarik untuk diperhatikan.
Kumpulan Kristal
membuktikan album-album mereka tidak patut dipandang
sepi apabila tercalon dalam beberapa kategori bersaing
dengan nama-nama besar. Persaingan kategori Album Hard
Rock Terbaik juga menarik walaupun produk lagu-lagu baru
cuma diperjuangkan oleh
Search & FTG dan
sedikit daripada Amuk yang
turut merakamkan semula lagu-lagu penyanyi lain, begitu
juga album lagu-lagu 60-an daripada Kristal, dan album
lagu-lagu persembahan live daripada
Lefthanded yang
sememangnya semuanya berkualiti walaupun lagu-lagu
mereka bukanlah yang terbaru. Bagi kategori Vokal
Terbaik, nampaknya Saleem
diiktiraf lagi sebagai calon akhir, sesuatu yang diharap
membakar semangatnya untuk album seterusnya. Sementara
kategori Artis Inggeris Terbaik pula menyaksikan sebuah
kumpulan punk/oi,
Steeltoe
Solutions, berjaya ke pencalonan akhir. Walau apa
pun keputusannya, diharapkan akan ada juga sebuah
persembahan rock pada malam anugerah nanti.
Calon-calon kategori Album Pop Rock Terbaik ialah
Kristal (album Analogi),
Saleem (Epigoni), Chobib
(Gor...renng Jer), Sofaz (Janjiku) dan M. Nasir (Sang
Pencinta). Manakala calon-calon kategori Album Hard Rock
Terbaik ialah Amuk (album
2 Juta),
Search (Gothik
Malam Edan), FTG (Kuasa),
Lefthanded (Live &
Unplugged at Planet Hollywood 06) dan
Kristal (Rock Yeh Yeh
60'an)
-
9
April 2007
Ada 4 buah
album yang baru aku beli. Pertama, album
Jinbara - Patah Pusing.
Album ini pada pendengaran aku bukanlah album terbaik
mereka. Setelah bertukar penyanyi, 'rentak' mereka juga
seakan sudah bertukar. Mungkin pada pendengar-pendengar
baru akan lebih mudah menerima album ini. Namun ada juga
beberapa lagu yang berjaya menarik pendengaran aku, tapi
yang pastinya ia bukanlah single pertama, Farhana, yang
mana setelah didengar lagu tersebut berulang kali,
timbul rasa jemu yang tak sepatutnya berlaku. Aku harap
ada usaha bersungguh-sungguh selepas ini untuk terus
mengekalkan nama Jinbara ini di dalam arena rock
tempatan.
Kedua
ialah album Bob KU2 &
Brudu - "Ini
Baru Rock!!!". Gabungan nama yang tidak asing lagi,
Bob KU2, dan nama yang memang asing, Brudu. Kumpulan
baru Brudu tampil berganding bersama Bob sebagai vokalis
mereka, dan album ini ialah hasilnya. Lukisan kartun
pada kulit album menggambarkan rentak muzik rancak dan
ceria mereka. Apa yg paling menarik ialah penampilan
istimewa artis-artis yang dijemput bagi memeriahkan
album ini. Ada Tajul FTG
yang membawa suara garau 'metal'nya dalam trek pertama,
dan ada gitaris handalan Kid
(yang masih diperkenalkan sebagai Kid
Search!) yang membawa
riff berat dan solonya dalam dua lagu bagi mengubat
kerinduan peminat. Selain itu ada juga suara Apek
Senario ('tokey' album ini), Cat Farish, Shades dan
lain-lain. Sesuatu yang kurang 'membanggakan' dalam
album ini ialah lagu-lagu saduran, yang aku kira terlalu
banyak. Pada mulanya aku terasa seperti mendengar album
ABoi di awal-awal dahulu (pemilihan
lagu dan rentak muziknya). Tapi, lagu-lagu yang sudah
terkenal itu sememangnya diakui menghiburkan, walaupun
penggemar muzik akan melihat itu sebagai kurangnya usaha
(dengan mengambil jalan mudah) dalam sesebuah penerbitan
album baru.
Seterusnya ialah album
Hattan - Masterpiece. Setelah album penghargaan
kepada M. Nasir (lama dahulu, dengan album Mentor), kini
Hattan membuat album yang hampir serupa untuk
Ramli Sarip pula.
Menggunakan formula yang sama yang telah terbukti laris
pada suatu masa dulu, album terbaru ini boleh saja
dilihat sebagai 'kurang idea baru' dan seperti mana
dengan album-album kompilasi lain, 'membuat untung
dengan lagu-lagu popular lama'. Album ini bukan tidak
bagus, cuma aku tidak terasa 'masterpiece'nya, mungkin
kerana idea ini telah digunakan berpuluh kali oleh
lain-lain artis, Hattan sendiri pun pernah terbabit
dalam album
Tribute Ramli Sarip (dengan pelbagai artis). Album
baru ini bukan hanya menghargai karya solo Ramli, tapi
banyak juga lagu-lagu Ramli bersama
Sweet Charity
dirakamkan semula, yang aku rasa amat patut di'angkat'
bersama-sama nama Sweet Charity dan bukannya Ramli Sarip
seorang. Satu lagu baru dalam album ini mungkin lagu
terbaik pada pendengaran aku (cuma judulnya, Keliru
megelirukan peminat Ramli Sarip yang sudah tentu
menyangka ia lagu "Keliru", tetapi ia bukan lagu "Keliru"
yang kita tahu itu, cuma judulnya sama). Penampilan
penyanyi-penyanyi undangan pula sekadar membuka ruang
pasaran kepada para peminat pop, contohya lagu duet Kita
Insan Biasa menampilkan Kat Mentor yang tidak membawa
apa-apa impak atau kekuatan (lagu asalnya memang satu
'masterpiece', tetapi tidak dalam album ini). Walau
bagaimanapun, kehadiran Ramli Sarip berduet dengan
Hattan dalam lagu Bukan Kerna Nama amat sangat
dinantikan bagi menyempurnakan album ini.
Akhir
sekali, aku melayan album
Iklim & Frenz - Nuansa. Label 'rock metal' pada
kulit album ini menimbulkan tanda tanya pada mulanya.
Tanpa sebarang promosi, aku terlihat album ini di
pasaran, dan terpampangnya nama-nama seperti
Mus MAY, Joey
BPR &
Yantzen menyanyikan
lagu-lagu popular Iklim menambahkan perasaan 'ingin
dengar' pada album ini. Okay, album ini ialah projek
khas Umarul, Mohalim, Kama & Huzali, para pemuzik asal
kumpulan Iklim, yang aku rasa bertujuan untuk
mengekalkan populariti nama Iklim dalam zaman 'artis
realiti tv' sekarang ini. Tetapi, tanpa penyanyi, tanpa
Saleem, bagaimanakah
mereka mahu meneruskan projek ini? Ya, seperti mana
Wings & Superfriends suatu ketika dahulu, kini muncul
Iklim & Frenz. Selain nama besar di atas, album ini juga
menampilkan Aris Ariwatan,
dan penyanyi baru Faizal AF (sekarang percayalah kita ke
mana album ini mahu dipasarkan). Khabarnya Faizal juga
dari Terengganu (tempat asal Iklim), dan dia diberi
peluang merakamkan semula lagu paling popular Iklim,
Suci Dalam Debu, malah dengan suara dan cara nyanyian yg
dibentuk supaya serupa dengan Saleem! Satu kesilapan
besar nampaknya, untuk nama baru yang masih mencari
identiti sepertinya. Selain itu, penyanyi lain semuanya
diberi peluang merakamkan masing-masing 2 lagu popular
Iklim. Yang paling istimewa, ada sebuah lagu medley yang
diselang-selikan dengan suara Umarul & Mohalim yg
mendendangkan lagu-lagu loghat Terengganu (seolah-olah
rap bercampur dikir barat), yang mana ia merupakan lagu
terbaik album ini. Kembali pada label 'rock metal' tadi,
'Iklim versi baru' ini membawakan Selamat Tinggal
Penderitaan, Hakikat Sebuah Cinta, Bukan Aku Tak Cinta
dan sebagainya dalam tempo yang lebih rancak, dan penuh
dengan riff gitar yang lari jauh dari lagu-lagu asalnya.
Kepada sesetengah peminat, mungkin mereka (Iklim) 'berjaya'
merosakkan keaslian lagu mereka sendiri.
-
11
Mac 2007
Aku telah
menonton dua vcd yang baru keluar ini, mula-mula Rock
Unite - Live In Concert. Satu usaha yang bagus dalam
menerbitkan vcd kompilasi ini kerana sekurang-kurangnya
usaha keras setiap peserta pertandingan akhir Rock Unite
kini boleh menjadi koleksi para peminat dan peserta itu
sendiri. Untuk menanti bilakah produk terkini mahupun
album atau rakaman terbaru setiap peserta mungkin
mengambil masa yang lama ataupun tidak akan terjadi
langsung. Juara pertandingan,
Nrocinu yang telah
dijanjikan rakaman album juga mengambil masa yang lama
untuk mengeluarkan produk mereka, apa lagilah
peserta-peserta lain. Jadi, diharapkan akan terus
dikeluarkan vcd sebegini dalam bahagian dua, tiga dan
seterusnya. Agak menarik juga bila sebuah kumpulan
undangan dari luar negara turut ditampilkan dalam vcd
ini. Mungkin untuk vcd seterusnya (kalau ada) boleh
menampilkan pula kumpulan-kumpulan undangan tempatan
seperti mana yang telah ditayangkan di TV dahulu, di
mana persembahan istimewa mereka ketika itu tidak dapat
disiarkan sepenuhnya kerana tidak mencukupi masa siaran.
Yang
kedua ialah vcd Rock The World 6, 2005. Rakaman ini
mungkin agak lewat dipasarkan atas sebab-sebab tertentu.
Sebuah rakaman yang bagus dan berkualiti sebenarnya,
cuma ia menjadi semakin tidak bagus apabila terlalu
banyak band mahu ditampilkan dalam cuma sebuah cakera
padat! Sekurang-kurang perlu diterbitkan dvd atau pun
dua cakera vcd baru berbaloi untuk persembahan yang
sebanyak ini. Apa gunanya sesebuah persembahan live
seperti konsert RTW ini sekiranya kita tidak dapat
menonton sesebuah lagu itu sehingga ke penghujungnya, di
mana pada penghujung lagu dan persembahan itulah yang
akan menimbulkan satu kepuasan apabila muzik berhenti
dan seterusnya mendapat reaksi para penonton. Itu semua
tiada dalam vcd kali ini, kerana semuanya telah di
fade-out bagi memberi laluan kepada lagu seterusnya dan
seterusnya dan seterusnya... ya, memang banyak lagu dan
memang banyak persembahan yang ingin ditunjukkan dalam
cuma satu jam lebih sahaja. Tapi, sekiranya persembahan
itu tidak ditamatkan, rasa macam satu kerugian. Apa pun,
aku amat tertarik dengan beberapa pemilihan lagu
instrumental live kali ini. Mungkin kerana tempohnya
yang pendek berjaya menarik perhatian penerbit vcd ini
kerana mampu menyiarkan banyak lagu? Apa pun alasannya,
ia memang pilihan yang menarik, contohnya persembahan
Deja Voodoo
Spells dan beberapa lagi kumpulan lain yang
memainkan lagu-lagu instrumental. Harap vcd siri terbaru
nanti akan lebih bagus suntingannya daripada ini.
-
10
Mac 2007
Kumpulan
Search telah
mengadakan Konsert Selepas Banjir di Stadium Tertutup MBJB,
Johor.
-
9
Mac 2007
Pencipta lagu Biru Mata Hitamku, Andi Rahman meninggal
dunia pada 2 Mac 2007. Pencipta lagu yang kurang
dikenali ramai itu walau bagaimanapun telah banyak
menyumbang bakti untuk kumpulan-kumpulan rock tempatan
zaman kini dan beliau mempunyai identiti penciptaan yang
tersendiri serta patut mendapat penghargaan yang
sewajarnya ketika beliau masih ada.
Pada 3 Mac 2007, kumpulan
Wings muncul dalam sebuah konsert di Pulau Pinang
dengan penyanyi Mus kerana
Awie tidak dapat turut
serta. Ia seolah-olah sebuah reunion, dengan persembahan
lagu-lagu seperti Biru Mata Hitamku (versi 'elektrika'),
Blues Ular Sawa, Julang Timur Tengah, Semalam Yang
Hangat dan lain-lain. Sengketa lama telah dilupakan,
mereka bersatu di dalam rock!
Joe Wings
berkemungkinan akan menjadi pemain gitar undangan dalam
konsert Search di Johor
pada 10 Mac 2007 nanti bagi mengisi kekosongan yang
ditinggalkan oleh
Edrie Hashim (pemain gitar undangan Search - yang
menyertai Jom Heboh di Kuantan?). Joe juga baru sahaja
mengiringi dua persembahan Ella di Planet Hollywood pada
bulan lepas (turut bersama beliau ialah Edrie Hashim!).
Dunia rock kita semakin bersatu...
Kumpulan Lives yang
dianggotai oleh Kid &
Din (gitar),
Yan (bass) & Lola (drum)
berkemungkinan menggunakan khidmat Moq (bekas penyanyi
Search/Rampage)! Ya,
sesuatu sedang berlaku dalam dunia rock kita...
nantikannya.
Stesen TV RTM dilihat semakin terbuka dalam
menampilkan artis dan pemuzik rock sejak awal tahun ini.
Misalnya seperti: penampilan
Shahrul (Ekamatra)
sebagai pengarah muzik dan pemain gitar iringan kepada
artis-artis solo dalam rancangan Fenomena Akustika,
rancangan yang turut menjemput beberapa kumpulan muzik
dan berkemungkinan akan menampilkan pemain gitar
terkenal Kid &
Din tidak lama
lagi; penyiaran rakaman Konsert Gigarto yg menampilkan
Bumiputra Rockers,
XPDC,
Wings,
Samad dan lain-lain tanpa
mengikut sebarang protokol; penampilan Bumiputra Rockers
dalam segmen nostalgia rancangan Selamat Pagi Malaysia
secara langsung; satu demi satu artis dan kumpulan rock
muncul dalam rancangan hiburan mingguan Zoom In; paling
mengejutkan penampilan Muix (penyanyi
Metalasia) dalam
rancangan Down Memory Lane walaupun sekadar menyampaikan
lagu-lagu nostalgia silam.
Rancangan Muzik-Muzik (TV3) kini telah menukarkan
kembali kategori Pop Rock kepada Pop/Rock. Apa bezanya
hanya perlu kita nantikan, mungkinkah ia hanya sekadar
tukar nama atau benar-benar membuka kembali ruang untuk
lagu-lagu berat bertanding? Selain itu rancangan
tersebut juga akan mula mengetengahkan kumpulan-kumpulan
muzik 'indie' yang seolah-olah terpinggir selama ini.
Mungkinkah ini satu perubahan atau peningkatan yang
bagus? Yang pasti lebih ramai penonton boleh menonton
kembali Muzik-Muzik yang kini bersiaran di sebelah malam
seperti suatu ketika dahulu.
-
8
Mac 2007
Ada
beberapa album terbaru di pasaran yang menarik perhatian
aku. Pertama sekali ialah album
Wings - Alive 2006 (The
Legend Arises). Album ini tidak menampilkan sebarang
lagu baru, cuma sekadar rakaman terbaru lagu-lagu lama
secara live. Walau bagaimanapun album ini buat pertama
kalinya menampilkan Awie
menyanyikan beberapa lagu yang pernah dinyanyikan oleh
Mus dan
Mel. Kualiti produksi
memang di tahap yang memuaskan secara keseluruhan
walaupun kadang-kadang suara nyanyian Awie agak
tenggelam atas beberapa masalah dan juga pada masa-masa
tertentu suara beliau juga ditenggelami oleh nyanyian
penonton! Mungkin itu yang menyiksakan para peminat
Wings yang terpaksa menanti lama bagi mendapatkan versi
VCD pula bagi menyaksikan betapa berpengaruhnya kumpulan
ini kepada arus rock tempatan dulu dan kini. Tahun ini
menyaksikan ulangtahun ke-20 Wings sejak kemunculan
album Belenggu
Irama (1987) dan album Alive 2006 ini adalah hadiah
terbaik buat kita.
Seterusnya ialah sebuah album penghargaan berjudul Hail
To The King - A Tribute To Cromok. Sebuah album
kompilasi yang menarik, menyaksikan susunan semula
lagu-lagu Cromok
mengikut kreativiti tersendiri kumpulan-kumpulan metal
dan underground tempatan serta nama-nama yang agak
terkenal seperti Amuk.
Antara kumpulan lain yang terlibat ialah
Sil Khannaz,
Langsuyr,
Malex dan banyak lagi.
Pilihan lagu-lagu mereka memang antara yang terbaik,
cuma aku agak terkilan dengan tersenarainya lagu Seakan
Menguji oleh Amuk yang mana ia bukanlah sebuah rakaman
terbaru malah dilihat sebagai alasan untuk menyelitkan
lagu berentak perlahan. Tak mengapa, kita boleh skip
trek kedua itu. Lagu pilihan terbaik pada aku ialah
Misery persembahan Langsuyr, yang seakan cuba lari dari
pengaruh Cromok, tapi tetap kedengaran segar pada
telinga aku walaupun tahap 'keganasan' itu telah
dikurangkan. Walau apa pun yang dipersembahkan dalam
album ini, yang penting Cromok akhirnya telah mendapat
pengiktirafan yang sewajarnya dari kelompok yang
mengerti apa itu metal.
Akhir
sekali ialah album baru kumpulan
Jinbara yang berjudul
Patah Pusing. Aku suka muzik dan lagu-lagu mereka dalam
album sebelum ini. Mereka bukanlah sebuah kumpulan rock
yang terlalu hebat, tapi tidaklah pula tidak bagus. Ada
kualiti-kualiti tertentu yang aku suka dalam album
terdahulu, antaranya penciptaan lagu, susunan muzik dan
juga lirik-lirik mereka. Album terbaru ini memang baru
saja dikeluarkan dan aku pun belum sempat mendapatkannya
lagi.
-
25
Februari 2007
Sunday Nite Live bersama
Ella telah
berlangsung di Planet Hollywood, KL.
-
11
Februari 2007
Ella mengadakan persembahan di Planet
Hollywood sempena pengeluaran album terbaru beliau.
-
3
Februari 2007
Konsert Rentaq
Serantau yang menampilkan kumpulan Search dan
Ella berserta
artis Indonesia telah berlangsung di Stadium Malawati Shah Alam.
-
1
Februari 2007
Kumpulan
Amuk telah mengadakan persembahan
di Hard Rock Cafe Singapura dalam festival muzik Asean Rocks
sempena penubuhan Asean yang ke-40 tahun.
-
23
Januari 2007
Ella telah mengeluarkan album terbaru
beliau berjudul Rama-Rama.
Album ini sekadar memuatkan 4 lagu baru termasuk single
Rama-Rama, ia bukanlah sebuah album studio penuh
walaupun mengandungi 10 lagu. Lagu-lagu selebihnya ialah
4 lagu cover rakaman terbaru dan juga single Rama-Rama
(radio edit). Lagu terakhir ialah Percaya Diriku yang
merupakan single kedua daripada album soundtrack Gol &
Gincu (2005). Mengikut siaran akhbar, lagu-lagu terbaru
Ella itu menampilkan sound 'etnik rock' - tapi aku tak
dapat komen lebih kerana belum berjumpa album ini di
pasaran.
-
3
Januari 2007
Konsert Search 25 Tahun yang dijadualkan pada 5 Januari 2007 di Stadium Merdeka KL
telah digantikan dengan konsert Slank setelah kumpulan
Search menarik diri akibat perselisihan faham dengan pihak penganjur
konsert tersebut.
- |