|
14 Disember 2009
Hari ini aku tiada cerita mengenai
arena rock tanahair. Ingatkah lagi satu ketika dulu pembeli kaset rock sering
mendapat pelbagai poster artis dan band rock, yang akhirnya akan menjadi hiasan
dinding dan bilik bujang para peminat rock. Begitu juga kedai muzik dan kaset
akan mempamerkan puluhan poster artis rock pujaan ketika itu. Sekarang poster
rock tidak banyak dikeluarkan lagi, mungkin juga kerana penjimatan kos, mungkin
juga kerana kesuraman pasaran muzik, atau mungkin juga kerana artis rock sudah
tidak kelihatan menarik lagi? Sebenarnya sudah lama aku bercadang untuk
menghasilkan sebuah poster kalendar seperti gambar di bawah ini sebagai
kenang-kenangan terhadap zaman rock kapak satu ketika dulu. Walaupun dengan
sumber yang begitu terhad, aku harap poster kalendar sebegini kalau pun sudah
tidak lagi sesuai untuk menghiasi dinding anda, biarlah ia disimpan sebagai
cenderamata.

Klik
untuk maklumat lanjut.
-
6 Disember 2009
Mungkin ramai yang sudah tahu
tentang penukaran tarikh dan tempat untuk Konsert Rock The World (RTW) hujung
tahun ini. Walau bagaimana pun, boleh dikatakan senarai artis untuk siri RTW
tahun ini agak kurang menyerlah, sekurang-kurangnya pada pandangan peribadi aku
sendiri. Tetapi untuk para peminat muzik generasi baru pastinya tidak akan
melepaskan peluang menonton sebegitu ramai bakat muzik terkini yang ditampilkan
dalam puluhan kumpulan muzik yang masih berjuang untuk mencari tapak dalam
kesuraman pasaran muzik arus perdana kini. Namun begitu, apa yang amat menarik
perhatian aku pada siri RTW kali ini ialah kemunculan semula kumpulan yang boleh
dianggap veteran dalam arena alternatif rock tempatan iaitu kumpulan
Saturnine. Aku sememangnya menggemari lagu
dan muzik mereka walaupun satu ketika dulu mereka antara kumpulan muzik yang
boleh dikatakan kurang popular berbanding kumpulan muzik lain yang sezaman
dengan mereka seperti OAG dan The Pilgrims.
Sementara itu sebuah lagi
persembahan hebat juga akan berlangsung pada 26 Disember nanti iaitu Konsert
Radio Rosak Grand Finale di Stadium Negara, Kuala Lumpur. Siri Konsert Radio
Rosak sebenarnya telah berlangsung di beberapa buah tempat sepanjang tahun ini,
dan untuk siri penutup di Kuala Lumpur satu kejutan telah diumumkan, iaitu
penampilan utama lagenda rock tanahair - Search
dan Wings! Mungkinkah dua nama besar itu akan
menenggelamkan persembahan artis Radio Rosak lain terutamanya kumpulan yang
heboh diperkatakan sebagai 'supergroup' iaitu Projek Pistol? Apa yang pasti,
Konsert Radio Rosak Grand Finale ini bakal menarik perhatian ramai peminat muzik
rock n roll tempatan, dan acara sebegini mampu memberi pendedahan yang meluas
kepada banyak kumpulan muzik rock generasi baru yang akan turut terlibat dalam
konsert tersebut nanti. Tetapi musykil juga kerana konsert sehebat ini seakan
tiada promosi besar-besaran?
Satu lagi berita yang boleh
dikatakan agak gempak ialah pengumuman tentang kumpulan Search yang telah
diundang bagi mengadakan persembahan di Dublin, London dan Liverpool pada bulan
Februari tahun depan. Walaupun siri konsert tersebut lebih tertumpu kepada bakal
penonton warga Malaysia yang menetap di sana, tetapi tidak mustahil ia juga
mampu menarik perhatian para peminat muzik warga asing bagi menyaksikan kumpulan
rock paling terkenal di Malaysia itu. Tiket untuk ketiga-tiga lokasi sedang
dijual sekarang. Untuk maklumat lanjut sila ke
www.orangkita.eu
Aku juga turut mendengar cerita
tentang kejayaan kumpulan Aisunam The Federated dalam satu pertandingan besar baru-baru ini,
tapi seperti biasa ia tidak menjadi tajuk berita walaupun kumpulan Aisunam
pernah menjadi juara pertandingan Rentak Juara 2008, dan mereka juga telah pun
mengeluarkan sebuah album bersama kumpulan The Federated pada awal tahun ini.
Tidak lama dahulu kumpulan Aisunam turut terlibat dalam rakaman Konsert Gegar
Generasiku bersama banyak lagi kumpulan muzik generasi baru, dan rakaman
bahagian kedua konsert tersebut yang menampilkan Aisunam akan disiarkan di
saluran TV2 pada 13 Disember jam 8.30 malam. Untuk pengetahuan, rakaman Konsert
Gegar Generasiku bahagian pertama yang melibatkan beberapa kumpulan muzik lain
akan disiarkan hari ini, 6 Disember.
Akhir sekali, ada sedikit berita
perkembangan laman web muzikrock.com di mana aku telah pun mengemaskini ruangan
Foto yang agak terbiar untuk sekian lama. Pada
bahagian foto Artis/Band sebelum ini terdapat 9 thumbnail gambar yang tidak
dapat diklik. Kini 9 gambar besar untuk thumbnail tersebut telah dimasukkan,
iaitu gambar Melissa,
Sweet Charity,
Rajawali, Aim
Crossfire, Vagrant,
Sherox, Desire,
Leez dan Febians.
Nantikan juga berita selanjutnya mengenai pengeluaran istimewa Kalendar 2010
Muzikrock.com yang pasti menggemparkan!
-
25 Oktober 2009
Aku agak sibuk sejak bulan Julai
yang lepas, jadi tak banyak yang dapat dilakukan untuk laman web ini. Ogos
berlalu dengan berita hangat 'kegagalan' konsert kumpulan
Search di Bukit Kiara, Kuala Lumpur, walaupun ia
tidaklah begitu teruk sebenarnya, cuma apabila dibandingkan dengan lain-lain
lokasi dalam tour Awan Biru maka kekurangan dalam konsert kemuncak tersebut
kelihatan terlalu mendukacitakan ramai pihak. Semalam kumpulan Search beraksi
lagi, di lokasi yang sama, Bukit Kiara, untuk Ara Music Fest. Konsert gabungan
ramai artis/band itu mengundang kumpulan Search sebagai aksi kemuncak ketika
waktu menghampiri 12 tengah malam! Apa yang mengejutkan ialah ketiadaan
Hillary sebagai pemain gitar utama. Tempat
Hillary kini diambil alih oleh Kid. Semula. Adakah
Hillary kini meninggalkan kumpulan Search buat sekian kalinya? Itulah yang
dikhabarkan oleh sumber yang rapat dengan kumpulan Search.
Bagi sesiapa yang tidak sempat
menyaksikan gabungan Hillary dengan Search dalam tour
Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru,
kini rakaman salah satu konsert tersebut yang berlangsung di Johor Bahru pada 9
Mei lalu telah berada di pasaran dalam bentuk album cakera padat yang berjudul
Search Live In JB 2009 - City Of Rock N Roll. Khabarnya versi video DVD juga
bakal keluar tidak lama lagi. Konsert Awan Biru di JB dianggap sebagai konsert
terbaik dalam keseluruhan tour malah mengatasi kehebatan konsert kemuncak di
Kuala Lumpur. Jadi penerbitan album dan DVD ini dianggap sebagai pilihan yang
tepat. Aku sudah pun menempah album tersebut tapi masih belum menerimanya. Ia
diedarkan oleh Sony Music Malaysia dan boleh juga dibeli melalui laman web
pengedar selain daripada kedai muzik biasa.
Selain itu sebuah lagi album otai
rock telah berada di pasaran baru-baru ini. Satu kelainan apabila
Joe Burnmarks, gitaris terkenal di
kalangan generasi rock 80-an, diberi peluang menghasilkan sebuah lagi album solo
beliau yang berjudul Inspirasi. Aku masih mencari album tersebut yang diedarkan
oleh pengedar tempatan Musicland. Perkembangan arena rock masa kini pula
menyaksikan kumpulah Hujan yang pernah memenangi anugerah Album Rock Terbaik
AIM, muncul lagi dengan album terbaru berjudul Mencari Konklusi dan kini mereka
sedang menjelajah seluruh Malaysia dalam siri Tour Mencari Konklusi. Sekadar
menambah pengetahuan, kumpulan Kopratasa
pernah muncul dengan lagu berjudul Mencari Konklusi dalam album Laungan (1990).
Sementara itu, bakal berada di
pasaran dalam bulan November nanti ialah album terbaru
XPDC yang berjudul agak pelik - Rasopariso. Penantian para peminat XPDC
sejak sekian lama bakal menjadi kenyataan, tambahan pula album terbaru ini
adalah album penuh pertama XPDC bersama Mael sejak
kali terakhir mereka bersama dalam album Brutal (1997). Inilah penantian 12
tahun! Jadi tentu ramai yang tidak sabar untuk mendapatkan album Rasopariso.
Semalam juga diberitakan bahawa XPDC telah mula mengadakan persembahan, iaitu di
Rawang, Selangor, sebagai satu promosi awal kepada album terbaru mereka itu.
Akhir sekali, pihak muzikrock.com
sedang dalam perancangan untuk mengeluarkan cenderamata berupa t-shirt bagi
terus mengukuhkan kehadiran laman web ini di kalangan para peminat muzik rock
tempatan. Semoga rancangan ini akan menjadi kenyataan dalam tahun ini juga.
Terima kasih kepada semua yang menyokong muzik rock tempatan.
-
20 Mei 2009
Seperti yang dijanjikan, anda
boleh menonton persembahan
Bloodshed di Stadium Indra Mulia, Ipoh 1985 dengan mengunjungi
www.muzikrock.com/bloodshed. Walaupun hanya beberapa minit sahaja yang dapat
disiarkan, semoga anda berpuas hati. Usaha menyimpan rakaman visual rock sebegini
mungkin diambil ringan pada 1985 dan pada masa-masa lalu ketika teknologi
rakaman visual baru mula berkembang, tetapi usaha merakam visual aksi rock pada
masa kini di mana teknologi semakin mudah adalah sangat-sangat digalakkan.
Rakamlah aksi band rock yang tidak terkenal sekarang, ia mungkin akan dihargai
24 tahun kemudian, iaitu pada tahun 2033! Hahahaha...
-
16 Mei 2009
Laman web www.muzikrock.com dengan
sukacitanya akan mempersembahkan satu tayangan perdana klip video istimewa yang
dipetik daripada sebuah konsert rock yang telah berlangsung di Stadium Indra
Mulia, Ipoh, Perak pada 1985. Klip video tersebut akan memaparkan sejarah awal
kumpulan Bloodshed sebelum mereka menyertai
projek Battle Of The Bands '86. Oleh kerana Bloodshed ketika itu belum
merakamkan album, mereka hanya mempersembahkan beberapa buah lagu popular artis
lain, antaranya lagu Ribut 10.59 Pagi oleh
Sweet Charity.

Rakaman konsert tersebut adalah
sumbangan seorang rakan yang berusaha menyimpan sejarah muzik rock negara
daripada pemilik asal rakaman tersebut. Semoga anda akan dapat merasai sedikit
kemeriahan zaman kebangkitan muzik rock 1980-an melalui klip video tersebut yang
akan disiarkan secara langsung melalui saluran internet seluruh dunia bermula
pada 20 Mei 2009.
-
19 April 2009
Satu ruang khas untuk konsert
Search Di Awan Biru telah dibuka hari
ini. Anda boleh klik banner besar di muka hadapan atau
klik di sini. Aku akan cuba memberi
maklumat terkini dan sudah tentunya ulasan serta gambar-gambar konsert yang akan
berlangsung cuma kurang 2 minggu saja lagi di Pulau Pinang, dan mungkin juga aku
akan hadir di lokasi-lokasi seterusnya sebagai sokongan. Ruang khas tersebut
juga satu alternatif untuk anda menyemak tarikh dan lokasi konsert selain
daripada puluhan laman web dan blog lain yang turut menyediakan maklumat yang
sama.
Pada hari yang sama berlangsungnya
konsert Search Di Awan Biru yang pertama pada 2 Mei nanti, seluruh peminat,
penggiat dan pemerhati industri muzik negara akan bertumpu kepada satu acara
tahunan yang penting iaitu Anugerah Industri Muzik (AIM) ke-16 yang kebiasaannya
berlangsung di Kuala Lumpur. Mungkin bukan semua orang, dikecualikan kepada
belasan mahupun puluhan ribu peminat muzik yang perlu berada di tapak konsert
Search Di Awan Biru. Tarikh tersebut satu kebetulan, tiada apa nak dihairankan,
kerana telah banyak anugerah muzik dalam dan luar negara yang pernah kita
saksikan di mana akan terdapat penggiat muzik yang terpaksa bekerja 'overtime'
pada hari mereka diraikan secara besar-besaran. Walaupun
Search tidak dicalonkan dalam kategori yang
khusus, tapi ada satu kategori yang membawa nama Search sebagai komposer bersama
iaitu kategori Lagu Hip Hop Terbaik! Ya, percaya atau tidak, sebuah lagu hip hop
yang diadaptasi daripada lagu Isabella dendangan Joe Flizzow (Too Phat) tercalon
dalam kategori yang baru diperkenalkan itu. Selain itu, tahun ini juga AIM
memperkenalkan kategori Lagu Rock Terbaik (sebelum ini cuma terdapat kategori
Lagu Terbaik, tanpa mengira genre). Walaupun aku tidak akan berpeluang, atau
lebih tepat lagi dikecualikan, daripada menonton siaran langsung AIM nanti,
tahniah terlebih dahulu diucapkan kepada calon-calon akhir kategori Album Rock
Terbaik iaitu Kristal,
The Times,
Nrocinu, Butterfingers dan Hujan (akan
disenaraikan dalam muzikrock.com). Tidak dilupakan kepada sebuah lagi album rock
daripada Estranged (akan disenaraikan dalam muzikrock.com) yang 'malangnya'
tidak cukup kuota lagu bahasa Melayu untuk diiktiraf dalam kategori Album Rock
Terbaik lalu terpaksa bersaing dengan genre lain dalam kategori Album Inggeris
Terbaik. Semoga berjaya!
-
18 April 2009
Berita yang muncul akhir-akhir ini
memang menggembirakan para peminat muzik rock tempatan. Apa tidaknya, dalam
kemerosotan penghasilan album-album rock terbaru, kita dikejutkan dengan
penganjuran konsert-konsert besar daripada beberapa nama besar yang mempelopori
muzik rock seperti
Sweet Charity,
Search dan Lefthanded.
Siapa yang tidak kenal nama-nama tersebut. Walaupun suatu masa dulu nama mereka
memang gah menguasai pentas hiburan seluruh negara, tetapi kemunculan mereka
kali ini bukanlah berdasarkan populariti semata-mata seperti ketika album mereka
terjual ratusan ribu unit dahulu. Tanpa album terbaru mahupun lagu baru yang
menguasai carta hiburan tempatan, nama Sweet Charity, Search dan Lefthanded
masih mendapat kepercayaan untuk mengadakan sebuah konsert yang besar, malah
Search telah diberi peluang mengadakan siri konsert jelajah yang merangkumi 11
buah tempat di seluruh Malaysia. Pengalaman luas dan tahap profesional mereka
menjadi antara sebab mereka masih mendapat kepercayaan sebegini. Selain itu
sudah tentu kerana kesetiaan peminat yang masih menyokong mereka sejak dulu
hinggalah mereka berjaya mendapat peminat daripada golongan muda masa kini.
Kejayaan yang dicapai oleh mereka kini, tidak lagi diukur daripada tahap jualan
album atau tahap populariti semasa, tetapi ada sesuatu dalam diri mereka yang
memungkinkan semua ini, sesuatu yang kita panggil... karisma. Sekian dulu, gua
jumpa lu di sana nanti okay, kita bikin perjumpaan rokes terbesar untuk kenangan
bersama, jangan lupa.
-
21 Februari 2009
Selamat pagi rockers! Permulaan
tahun baru 2009 ini pada 1 Januari lalu telah aku mulakan dengan menonton
persembahan Ella dan MAY
di Pulau Pinang, satu permulaan yang amat menarik untuk dikenangkan. Tahun baru
ini mungkin kurang meriah dengan kehadiran album dan lagu baru, setakat ini
Mus MAY telah muncul dengan album solo beliau yang
ketiga berjudul Optimis, dan terkini kumpulan
Kamikaze baru saja mengedarkan album terbaru mereka berjudul The Return.
Kita masih menantikan lagu terbaru Ella yang dikatakan sedang menjalani proses
rakaman terakhir. Buat pengetahuan semua, Ella kini meraikan ulangtahun ke-25
beliau dalam arena rock, 8409! Sementara itu khabar dari seberang mengenai
sambutan ulangtahun ke-40 tahun penubuhan kumpulan
Sweet Charity (1969-2009) juga telah mula
kedengaran. Namun satu berita yang paling menggemparkan ialah mengenai kumpulan
Search yang bakal muncul menemui para peminat
tidak lama lagi dalam persembahan yang sangat istimewa. Bila dan di mana? Kau
akan tahu!
- |