Foto
kenangan
Kasut jenama AliphKasut sukan
berjenama Aliph mula dipasarkan pada pertengahan tahun 1980-an,
iaitu ketika zaman kebangkitan muzik rock di Malaysia. Seperti
mana yang diketahui umum, kasut sukan adalah antara aksesori
penting yang melengkapkan gaya artis dan band rock pada zaman
tersebut, tidak kira di Malaysia atau di luar negara. Sejak itu,
pemakaian kasut sukan tidak lagi hanya untuk bersukan atau
beriadah, tetapi telah menjadi sebahagian daripada fesyen dan
kegunaan harian yang kekal hingga ke hari ini...
 |
 |
 |
 |
 |
|

Kasut Aliph adalah antara jenama tempatan yang paling popular
ketika itu dan sering menjadi pilihan artis dan band rock untuk
digayakan, malah jenama tersebut menjadi ikutan para peminat
muzik rock umumnya. Kebiasaannya kasut sukan yang mempunyai
rekabentuk
potongan tinggi (high-cut) paras pergelangan kaki akan menjadi
pilihan ramai kerana selain bentuknya yang unik dan menarik, ia
juga seakan-akan telah direka untuk kelihatan sepadan dengan potongan seluar sendat yang
juga turut menjadi sebahagian daripada fesyen rasmi para
rockers ketika itu...
 |
 |
 |
 |
 |
|

Kasut Aliph dipasarkan dalam pelbagai warna, bentuk dan model,
antara yang popular ialah model Hi-Cut Rider, sementara
rekabentuk yang mempamerkan logo besar Aliph dalam pelbagai
warna di kiri dan kanan kasut sering menjadi pilihan. Sekitar
tahun 1987-88, kumpulan Search
telah dipilih untuk memperagakan jenama Aliph secara eksklusif
di mana rekabentuk terbaru kasut Aliph telah dikeluarkan secara
terhad dan model tersebut dikenali dengan nama Aliph Search.
Setelah itu, kumpulan
Lefthanded juga mendapat peluang yang sama, di mana mereka
muncul memperagakan jenama Aliph Lefthanded...
 |
 |
 |
 |
 |
|

Pada tahun 1987 juga, jenama Aliph telah menaja kasut untuk
filem Rozana Cinta '87, di mana pelakon terkenal Helmi Hussaini
dan Erma Fatima dilihat memakai kasut Aliph dalam filem yang
mengisahkan tentang pergolakan remaja kota itu. Pada 1989, jenama Aliph
sekali lagi mengeluarkan model terbaru, tetapi kali ini
mensasarkan hanya kepada golongan gadis remaja, lalu muncullah
kasut Aliph Terri yang turut dipasarkan dalam rekabentuk potongan tinggi
(high-cut). Tidak lama kemudian, jenama Aliph memperkenalkan
pula kasut khusus untuk dipakai ke sekolah, iaitu model White
Shadow dan Strike Force yang hanya dikeluarkan dalam warna putih.
Dengan itu, jenama Aliph terus mengekalkan popularitinya sehingga
ke awal tahun 1990-an...
 |
 |
 |
 |
 |
 |
 |
 |
 |
|

Sejurus menurunnya populariti muzik rock di Malaysia sekitar
tahun 1993, jenama Aliph juga seakan menerima tempiasnya, di
tambah pula dengan kemunculan pelbagai jenama lain yang semakin
mendapat perhatian. Maka, secara perlahan-lahan pengeluaran
kasut Aliph telah dihentikan, dan akhirnya operasi kilang Aliph
terpaksa menutup pintunya buat selama-lamanya. Kini, kasut Aliph
masih lagi kelihatan dipakai oleh para pemilik dan pengumpulnya.
Tidak keterlaluan untuk mengatakan bahawa kasut Aliph kini telah
menjadi antara simbol ingatan rasmi terhadap zaman kebangkitan
muzik rock di Malaysia, malah jangan terkejut sekiranya terlihat
kasut Aliph tidak lagi berfungsi sebagai pelapik kaki, tetapi
sebaliknya terjaga rapi sebagai sebahagian daripada bahan
pameran untuk tatapan orang ramai - Artikel ini ditulis oleh
khys pada 22 Julai 2007
 |
 |
 |
 |
 |
 |
 |
LAGI
FOTO & GRAFIK
 |
|
Rekabentuk laman
web & pengumpulan maklumat oleh
Kamal
Hakcipta laman web © 2006-2008
khyswebdesign
Lain-lain
hakcipta adalah terpelihara
 |
|
|
PENAFIAN
Semua isi kandungan dan bahan-bahan dalam laman web Muzik Rock (www.muzikrock.com)
ini termasuk maklumat, tulisan, gambar, senikata dan klip
audio/video adalah hak milik eksklusif para individu, penulis,
karyawan dan artis serta pihak media cetak, stesen TV dan
syarikat rakaman yang berkaitan, sama ada dinyatakan atau pun
tidak. Sebarang penyalahgunaan bahan-bahan dalam laman web ini
adalah ditanggung sepenuhnya oleh mereka yang tidak
bertanggungjawab tersebut |
|