Kembali
Dulu, kini & selamanya...
www.muzikrock.com

SENARAI
ARTIS/BAND
KARYAWAN
KOMPILASI
KONSERT

ISTIMEWA
FOTO & GRAFIK
ARTIKEL & ULASAN
SENIKATA

MEDIA
BLOG
AUDIO
VIDEO

KEDAI
MUZIKROCK.COM/SHOP

Join MUZIKROCK facebook

KONSERT PENGHARGAAN
SEARCH DI AWAN BIRU
Twitter
Facebook
Dunia Search
Amy Phewwiitt
Ticket Hotline


Forum Dunia Search

Profil & Diskografi

RSS Feed - untuk melanggan blog


Konsert Penghargaan SEARCH Di Awan Biru 2009

"Bertemu kita lagi dalam pesta rock 'n' roll, ingat-ingat wahai teman, jangan keterlaluan"
Hari & tarikh Lokasi Masa Tiket
Sabtu, 2 Mei 2009 Tapak Ekspo Seberang Jaya, Seberang Prai, Pulau Pinang 9.00 malam RM38.00
Sabtu, 9 Mei 2009 Stadium Tertutup MBJB, Johor Bahru, Johor 9.00 malam RM38.00 / RM58.00
Sabtu, 16 Mei 2009 Stadium Mini Jengka, Pahang 9.00 malam RM38.00
Jumaat, 29 Mei 2009 Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Terengganu 9.00 malam RM38.00
Sabtu, 1 Ogos 2009 Bukit Kiara Equestrian & Country Resort, Kuala Lumpur 8.45 malam RM58.00 / RM88.00


26 Mei 2009
Aku, rock dan Search
Semua orang ada cerita masing-masing tentang kumpulan muzik kegemaran mereka. Aku anggap diri aku peminat generasi kedua kumpulan Search. Ketika Search terlibat dalam konsert tour Battle Of The Bands pada awal 1986, iaitu semasa album pertama mereka, Cinta Buatan Malaysia, masih hangat di pasaran, aku masih belum menerima arus muzik rock dalam sekitar kehidupan aku. Sudah tentu lagu seperti Rozana pada 1986 dan kemudiannya Fantasia Bulan Madu pada 1987 pernah aku nikmati ketika itu kerana ia begitu berhantu dan popular, siapa yang tidak menggemari lagu-lagu tersebut? Walaupun siaran televisyen menyekat paparan kumpulan rock ketika itu, tapi pernah juga sekali dua aku menyaksikan kelibat Search dalam TV mendendangkan 2 buah lagu popular tersebut. Aku masih ingat sewaktu di sekolah rendah, seorang rakan dengan bangganya memakai t-shirt putih yang tertera gambar Search seperti di dalam kulit album Mentari Merah Di Ufuk Timur. Pertama kali rasanya aku melihat t-shirt sebegitu, yang tidak lama kemudian aku kenalinya sebagai t-shirt rock. Kerana minat dengan lagu Rozana juga, aku menyimpan gambar pin-up Amy berseluar ketat merah dan singlet bertulisan Jepun yang disiarkan dalam akhbar Pancaindera tahun 1986 yang mempunyai lirik lagu tersebut, dan ianya masih tersimpan rapi sehingga kini.

Pergaulan aku dengan rakan-rakan di sekolah menengah akhirnya mencambahkan minat pada muzik rock dan muzik yang lebih keras lagi yang dikenali sebagai thrash. Aku perlu akui populariti Isabella mendekatkan aku pada Search, apabila pada suatu hari seorang rakan dilihat sedang khusyuk menghafal lirik-lirik lagu daripada kulit kaset album Fenomena yang dibawanya ke sekolah. Aku hairan apa yang menariknya album tersebut kerana lagu Isabella pada aku biasa saja. Bukan bermaksud lagu tersebut tidak menarik, tetapi Isabella pada aku sama menariknya dengan Rozana dan Fantasia Bulan Madu, lantas menjadikannya biasa pada pendengaran aku. Ketika itu juga lagu Isabella belum dicalonkan dalam rancangan Muzik-Muzik TV3. Lama kelamaan, lagu Isabella menjadi semakin popular, dan aku mula mengenali lagu-lagu lain seperti Fenomena, Gadis Misteri, Derap Komando dan lain-lain lagu yang turut mendapat tempat dalam siaran radio. Akhirnya pada bulan Disember 1989, aku membelanjakan $8 untuk membeli kaset Fenomena. Mulai dari saat itu aku menjadi peminat Search. Tetapi anehnya aku tidak mencari album-album Search yang lebih awal daripada Fenomena. Album Fenomena begitu melekat dalam hati aku hingga aku rasakan tidak perlu untuk aku berpatah balik mendengar lagu-lagu yang lebih lama, tambahan pula anggota kumpulan Search sebelum zaman Fenomena berlainan daripada apa yang aku kenal dan sedang minati ketika itu iaitu Amy, Kid, Din, Nasir & Yazid. Dalam tahun yang sama, terbit album berkembar Search Live berserta buku biografi Search dengan harga $18 yang aku rasakan terlalu mahal untuk seorang budak sekolah memilikinya. Tidak sempat aku mengumpul wang, album tersebut habis dijual kerana ianya cetakan terhad.

Dalam tahun 1990 album Karisma diterbitkan, tetapi aku membelinya agak lewat pada awal 1991. Pengaruh Fenomena masih begitu kuat pada aku. Walaupun Karisma tidak sepopular album Fenomena tetapi semua lagu tetap menjadi kegemaran aku. Perkembangan Search aku ikuti melalui majalah dan TV hinggalah pada suatu hari aku tergerak hati untuk pertama kali mengunjungi sebuah kedai video dan membeli pita video Konsert Isabella Live. Memang mahal harganya, $32. Tapi keinginan yang kuat untuk menonton persembahan konsert live Search memaksa aku membelanjakan wang simpanan yang ada. Rakaman Konsert Isabella memang satu persembahan yang sangat menarik, dan dari saat itu aku menyimpan hasrat untuk menonton konsert Search secara langsung.

Tahun 1992, album Rampage diterbitkan. Ketika itu aku rasakan Search sudah jadi sangat lain, muzik mereka semakin mantap, seperti mahu mencari pasaran dan peminat baru, terutama dengan adanya sebuah lagu Inggeris. Memang Rampage satu album yang sangat berkualiti dengan lagu-lagu yang hingga kini masih tak jemu didengar. Malangnya ketika itu isu sekatan terhadap artis rock berambut panjang menjadi-jadi. Search yang ingin mempertahankan imej rock mereka telah terjebak dalam kontroversi apabila lagu dan konsert mereka disekat oleh pihak berkuasa. Pada November 1992, Search & Wings mencipta sejarah yang tidak dipinta apabila rambut mereka (Amy sahaja sebenarnya, termasuk Awie) digunting oleh Menteri Penerangan, Tok Mat, dalam satu siaran langsung oleh saluran RTM1. Aku tidak menonton siaran langsung tersebut kerana disiarkan dalam waktu persekolahan. Tetapi rakaman peristiwa tersebut telah dirakam dengan video oleh ahli keluarga untuk aku tonton detik bersejarah tersebut. Memang menyedihkan apabila menontonnya kembali selepas itu.

Beberapa hari setelah siaran langsung potong rambut tersebut, sekatan terhadap Konsert Rampage telah ditarik balik, dan antara percaya atau tidak, Konsert Rampage pertama dengan kumpulan Search berambut pendek telah diadakan di Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang pada bulan yang sama, November 1992. Ketika itu seperti kebiasaannya di hujung tahun, Pesta Pulau Pinang sedang berlangsung, jadi suasananya memang cukup meriah. Aku adalah antara ribuan penonton Konsert Rampage tersebut, di mana itulah kali pertama aku melihat kumpulan Search berada di depan mata sendiri. Kata-kata Amy yang aku ingat, beliau mengatakan bahawa itu adalah "konsert rambut yang pertama". Tapi aku tidak ingat langsung tajuk-tajuk lagu yang mereka mainkan pada malam tersebut, yang pasti kebanyakannya adalah daripada album Rampage. Ketika itu aku rasa sangat bertuah dapat menyaksikan konsert Search yang aku tunggu-tunggu sejak zaman Fenomena lagi tapi tidak berpeluang. Walaupun imej mereka telah berubah, tetapi yang penting aku telah menyaksikan Amy, Kid, Din, Yan & Yazid beraksi depan mata sendiri. Di akhir persembahan, mereka berlima berdiri selari di depan pentas sebagai tanda terima kasih kepada penonton. Satu hari nanti aku akan mengimbas gambar-gambar yang aku rakam ketika Konsert Rampage tersebut.

Selepas dari itu, aku hanya berpeluang menonton konsert Search yang kedua pada Ogos 1993, masih di lokasi Tapak Pesta Sungai Nibong, Pulau Pinang, dan masih dengan barisan anggota Search yang sama. Search bersama Wings, beraksi dalam Konsert Double Trouble. Ia satu pengalaman yang tidak akan dilupakan, dua band rock terhebat Malaysia beraksi pada masa yang sama di atas pentas yang sama. Bayangkan ada dua drum set di atas pentas, begitu juga gitar dan bass, dan ketika Search dan Wings beraksi bersama, pentas penuh dengan kedua-dua anggota kumpulan, Kid dan Joe berentap beraksi dengan gitar masing-masing, dan walaupun aku tidak ingat sepenuhnya, pasti lagu Gemuruh nyanyian Amy & Awie adalah yang paling ditunggu-tunggu semua penonton ketika itu. Malangnya aku lupa untuk meminjam kamera, jadi tidak adalah gambar-gambar untuk aku imbas kembali keadaan ketika itu. Sewaktu persembahan solo Search, lagu yang paling aku ingat ialah Pelesit Kota, menariknya ketika di pertengahan lagu tersebut, semua muzik dan lampu dihentikan seketika dalam beberapa saat dan semua anggota kumpulan Search juga tidak bergerak seolah-olah patung, hanya jerit pekik penonton kedengaran. Apabila semua kembali bergerak dan 'hidup' dalam berapa saat kemudian, muzik bersambung kembali dan bait-bait lirik "bersembunyi di mana, mungkin di celah-celah..." terus berkumandang. Menyaksikan Konsert Double Trouble adalah satu kepuasan. Dan itu adalah persembahan Search yang terakhir aku saksikan sehinggalah pada 2 Mei 2009 yang lalu, hampir 16 tahun kemudian.
-

Kembali ke awan biru

 


Rekabentuk laman web & pengumpulan maklumat oleh Kamal
Hakcipta laman web © 2006-2010
khyswebdesign
Lain-lain hakcipta adalah terpelihara
Free counter and web stats

PENAFIAN Semua isi kandungan dan bahan-bahan dalam laman web Muzik Rock (www.muzikrock.com) ini termasuk maklumat, tulisan, gambar, senikata dan klip audio/video adalah hak milik eksklusif para individu, penulis, karyawan dan artis serta pihak media cetak, stesen TV dan syarikat rakaman yang berkaitan, sama ada dinyatakan atau pun tidak. Sebarang penyalahgunaan bahan-bahan dalam laman web ini adalah ditanggung sepenuhnya oleh mereka yang tidak bertanggungjawab tersebut

BERKHIDMAT UNTUK ROCKERS