|

13 Jun 2009
Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru: Seberang Jaya
Tapak Ekspo Seberang Jaya di Seberang Prai, Pulau Pinang, bukanlah satu tempat
yang asing pada aku ketika zaman Ekspo Pertanian rancak diadakan di situ pada
setiap tahun ketika awal 1990-an. Pentas kecil yang dapat dilihat daripada pintu
masuk ke Tapak Ekspo sering menjadi tumpuan para peminat muzik terutamanya rock
pada saban hari dan minggu satu ketika dahulu. Apabila mendapat berita tentang
Konsert Penghargaan Search Di Awan Biru yang akan memulakan siri tour mereka di
situ, aku tertanya-tanya kenapa di situ? Aku sudah berbelas tahun tidak ke situ,
tak dapat aku bayangkan bagaimana keadaannya nanti, di mana kedudukan pentas,
dan adakah sesuai Tapak Ekspo menjadi lokasi konsert besar sebegini? Semuanya
terjawab pada malam 2 Mei 2009, hari Sabtu yang bermula dengan tenang pada
awalnya.
Sebenarnya aku rasa amat bertuah kerana berpeluang membantu rakan-rakan
DuniaSearch.com dalam memeriahkan suasana konsert kali ini. Pada 1 Mei 2009, aku
sempat melawat Tapak Ekspo bagi membantu persiapan gerai DuniaSearch.com dan
meninjau persiapan awal konsert. Imej-imej lama tentang suasana pentas rock di
Ekspo Pertanian dahulu kala kembali dalam ingatan. Cuaca sangat baik, mungkin
agak panas kerana sudah lama tidak hujan. Apabila melihat ketibaan kumpulan
Search untuk melakukan sesi soundcheck pada lewat petang Jumaat itu, aku rasa
amat bertuah, tak pernah aku bayangkan aku akan berada pada saat itu di Tapak
Ekspo menyaksikan Search di atas pentas, bukan pada hari konsert mereka.
Menyaksikan soundcheck konsert Search adalah satu peristiwa penting dalam diari
muzik rock aku.
Keesokan harinya pada 2 Mei 2009, aku bergegas membuat persiapan untuk
memeriahkan gerai DuniaSearch.com, menyediakan sedikit poster simpanan aku untuk
dipamerkan, dan membawa sedikit peralatan untuk tayangan video. Aku sebenarnya
sudah terlewat. Cuaca seperti semalam, agak panas pada awal petang. Tanpa diduga,
ketika aku hampir sampai ke Tapak Eskpo, hujan turun dengan begitu lebat
selebat-lebatnya. Aku terfikir apa akan jadi sekiranya cuaca berterusan begitu?
Konsert akan bermula dalam masa 5 jam saja lagi. Yang tentu, hujan biasanya tidak
akan berterusan lebat sebegitu lama. Hanya lebih kurang sejam kemudian hujan
mulai reda, tetapi langit masih mendung. Begitulah keadaannya sehinggalah hampir
kepada waktu penonton dibenarkan masuk. Aku sempat meninjau persekitaran dalam
dan luar Tapak Eskpo yang sememangnya meriah dengan pelbagai jualan barangan dan
makanan, serta gelagat
para penonton, dan tak dilupakan lopak-lopak air di sana sini kesan daripada hujan
lebat tadi. Di sebalik semua itu, konsert ini akan jadi hebat kata hati aku.
Aku jangkakan konsert akan bermula tepat jam 9 malam, tetapi ketika itu hujan
renyai-renyai masih berterusan sejak pintu masuk dibuka pada jam 7.30 malam.
Sekitar jam 9.30 malam, hujan semakin reda lalu konsert pun bermula. Aku tak pasti apa sebenarnya yang
aku fikirkan ketika itu, ini konsert Search ketiga yang aku saksikan, kali
terakhir pada 1993, sudah tentu perasaan aku hanyalah satu: gembira. Sebaik saja
tayangan video di skrin besar tamat, lagu
Derap Komando pun
dipersembahkan dengan penuh bertenaga. Aku sepatutnya berada dalam kelompok
penonton di depan pentas untuk merasai kehebatan lagu pembukaan itu. Tapi aku
sekadar berdiri di bahagian sisi sebelah kiri pentas. Aku sebenarnya memakai pas
Penaja yang tidak memerlukan tiket (walaupun sebenarnya aku membeli tiket lebih
awal lagi), jadi tidak perlulah rasanya untuk bersesak dalam kelompok penonton
yang ramai di depan pentas seperti dalam konsert-konsert lain yang biasa aku
hadiri. Cuma aku tak pasti sama ada pas Penaja yang aku pakai itu membolehkan
aku masuk ke bahagian depan pentas? Tak mengapa, yang penting kamera aku
dilepaskan masuk tanpa halangan, tidak seperti penonton lain.
Sedang aku melaung-laungkan bait lirik Pelesit Kota, dengan kamera aku yang
sedang merakamkan sedikit video aksi Hillary memainkan gitar solo, pihak
sekuriti datang dan meminta aku menyerahkan kamera kepada mereka. Setelah
menunjukkan kepada mereka pas Penaja yang aku pakai, mereka meminta aku dan rakan pergi ke
bahagian depan pentas yang dikhaskan untuk mengambil gambar. Apa lagi, sepantas
kilat kami pergi ke depan pentas dan mengambil seberapa banyak gambar yang
kami mahu. Detik itu sebenarnya satu saat penting sepanjang aku menjadi peminat
Search. Berada begitu dekat dengan Search ketika mereka sedang beraksi,
berpaling ke belakang lalu melihat ribuan penonton terpaku mata pada aksi Search
di pentas, semuanya kini menjadi sesuatu yang tak dapat aku lupakan. Ini juga
kali pertama aku menyaksikan persembahan barisan anggota Search ketika zaman
Langit Dan Bumi, zaman lagu Rozana (tidak dimainkan kali ini) dan juga Fantasia
Bulan Madu yang aku minati ketika kecil dahulu. Walaupun hujan kembali turun
dengan lebat ketika lagu Isi Atau Kulit, di mana ketika itu para jurugambar dan
pihak media yang memenuhi depan pentas, bersekali dengan aku dan rakan-rakan
bertempiaran lari mencari perlindungan di tepi pentas yang berbumbung, tetapi
suasana konsert yang berlangsung dalam hujan itulah yang rasanya akan diingati untuk sekian lama
bagi kita semua.
Ketika
Isabella dipersembahkan,
lagu yang mendekatkan aku pada Search, dengan
berpayung untuk melindungi kamera, aku kembali semula ke depan pentas,
aku perlu saksikan ini, satu saat yang penting pada malam itu, berjaya juga aku
rakamkan sedikit aksi penonton yang menyanyi bersama-sama lagu rasmi Search itu.
Walaupun selepas lagu terakhir, Melastik Ke Bintang, aku tetap tidak berganjak,
bersama-sama para penonton yang masih tidak puas, menjerit-jerit meminta Pawana.
Search perlu keluar sekali lagi, satu lagu lagi. Ya, "satu lagu lagi", laungan
tanpa henti para penonton yang setia, mungkin hampir 5 minit. Tetapi apabila krew menaiki
pentas dan mula membungkus segala peralatan dengan plastik ketika hujan masih
turun renyai-renyai, kami semua tahu ia telah berakhir. Search tidak akan keluar
kembali, dan konsert pun tamat. Dalam hati aku ketika itu cuma satu, aku akan ke
Johor Bahru pada minggu depan. Pasti!
-
26 Mei 2009
- Aku, rock dan Search
19 Mei 2009
- Berita gempar III
14 Mei 2009
- Setlist Seberang Jaya & Johor Bahru /
Berita gempar II
7 Mei 2009
- Alor Setar, Kota Kinabalu dan Jay Bee!
30 April 2009
- Selamat datang Search / Kaunter promosi
tiket
28 April 2009
- Berita gempar / Peta Tapak Ekspo Seberang
Jaya
25 April 2009
- Booth DuniaSearch.com / Perubahan tarikh
bertemu Search
22 April 2009
- Beberapa maklumat mengenai
tour Search Di Awan Biru
19 April 2009
- Search Tour akhirnya menjadi kenyataan |