Ada beberapa keluaran terbaru vcd dan album yang baru aku dapatkan, yang pertama ialah vcd Mega & FotografReunion Live at Planet Hollywood. Setelah menontonnya aku rasa vcd ini memang patut dijadikan koleksi bagi setiap peminat kumpulan rock lama-lama seperti ini. Pada aku Fotograf menampilkan sebuah persembahan yang hebat, selain vokal Shamrin yang masih bertenaga, pemain drum Ringgo yang masih tidak berubah penampilannya dan yang paling menarik sudah tentulah kerana penampilan istimewa gitaris handalan Opie (Bloodshed) yang membawakan setiap lagu-lagu nostalgia Fotograf dengan amat menarik sekali. Kumpulan Mega pula hadir dengan menampilkan vokalis asal Zarith di samping Rahmad dan gitaris adik beradik – Adi & Sam. Persembahan mereka semua sememangnya menarik, bukan hanya sekadar nostalgia tapi mereka benar-benar membuktikan bakat mereka sebagai kumpulan rock yang pernah popular satu masa dulu.

Seterusnya ada beberapa album yang berjaya menarik perhatian aku, pertama sekali penyanyi rock solo Bard dengan album pertamanya berjudul R1. Album ini dikatakan membawa konsep heavy metal bercampur rock dan baru saja berada di pasaran. Kedua ialah album Royce, penyanyi wanita yg pernah muncul dengan album solo ketika zaman muzik alternatif hampir malap dulu. Kini Royce tampil dengan band pengiring yang turut dianggotai oleh gitaris Matnor Hendrix (Rusty Blade). Album kedua Royce yang berjudul Yang Lazat ini adalah sebuah album rock yang menampilkan susunan muzik menarik serta vokal Royce yang tersendiri. Akhir sekali aku tertarik dengan album kumpulan Malex yang berjudul Wira Kosmo. Album ini kurang meluas pengedarannya, sama seperti album-album mereka yang terdahulu. Malex ialah sebuah kumpulan dari Singapura yang memperjuangkan lagu-lagu rock keras dengan lirik-lirik berbahasa Melayu, dan sekarang nampaknya mereka cuba untuk menerjah pasaran Malaysia dengan lebih meluas lagi.